USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUS SEJAHTERA USM PERKASAKAN PERANAN PEGAWAI KELESTARIAN; PROGRAM ‘PEJABAT HIJAU/DESASISWA HIJAU’ TINGKAT KEFAHAMAN AMALAN KELESTARIAN DI KAMPUS

USM PULAU PINANG, 8 Ogos 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah selesai menjalankan program bersama Pegawai Kelestarian yang hadir dari Kampus induk dan cawangan baru-baru ini. 

366546451 699521058881313 7531853621576579263 n

Program yang dijalankan dari 7-8 Ogos baru-baru ini dan disertai lebih 100 orang dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) yang dilantik mewakili pelbagai PTJ (pusat tanggungjawab) di USM bertujuan untuk memperkasakan peranan kesemua mereka, dalam usaha menyebarluaskan maklumat berkaitan pelbagai aspek kelestarian yang selama ini telah menjadi sebahagian dari identiti USM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Dr. Azlan Amran yang hadir dalam program ini, dalam ucapan aluannya berkata bahawa peranan Pegawai Kelestarian di PTJ masing-masing adalah penting dalam memastikan segala aktiviti yang dijalankan adalah selari dan selaras dengan visi dan misi USM yang berorientasikan kelestarian. 

366516065 699520768881342 157056772940116689 n

“Segala apa yang dilakukan, sama ada berkaitan pengajaran, penyelidikan, operasi dan governans serta aktiviti kepemimpinan bersama komuniti mampu menjadi testimoni yang boleh menyumbang ke arah menentukan tahap pencapaian USM dalam ranking kelestarian antara universiti seluruh dunia,” katanya.

Ujar beliau lagi, segala perancangan perlu dilaksanakan dengan strategi tertentu dan disokong pelbagai pihak.

366378109 699522848881134 4351596723216028126 n

“Pihak universiti juga sedang merancang untuk turut serta dalam penarafan kelestarian oleh pihak lain di masa akan datang.

“Secara keseluruhannya, Pegawai Kelestarian setiap PTJ boleh berfungsi sebagai ‘representative’, ‘promoter’, ‘planner’, ‘implementor’, ‘advocator’ dan ‘partner’ dalam merealisikan agenda kelestarian ini,” tambah Azlan.

Terdahulu, Pemangku Penyelaras Sekretariat Times Higher Education-Impact Rankings (THE-IR) USM, Dr. Normaliza Abdul Manaf telah memberi penerangan ringkas tentang keperluan pelaksanaan dan peranan semua Pegawai Kelestarian yang telah dilantik.

Beliau juga telah menerangkan kaedah pelaksanaan pengumpulan data yang diperolehi dari pelbagai aktiviti di USM yang boleh diambil kira dalam penilaian pencapaian institusi, berdasarkan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) melalui ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) atau Matlamat Pembangunan Lestari, juga dikenali sebagai ‘Agenda 2030’. 

366730922 699521715547914 5341485746767825012 n

Maklumat lain berkaitan kelestarian turut dikongsi dalam beberapa sesi berasingan.

‘Prinsip Perolehan Hijau’ dikongsi oleh Nur Annisa Abdul Muttalib dari Jabatan Bendahari USM; ‘Kecekapan Sumber’ dikongsi oleh Dr. Mohd Sukri Shafie dari CETREE; ‘Pengurusan Sisa’ dikongsi oleh Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo dari CGSS; ‘Kesihatan dan Keselamatan Staf’ dikongsi oleh Mohd Hafizul Mohd Arop dari UKKP, dan ‘Penglibatan Staf dan Komuniti’ yang dikongsi oleh Ahmad Wafi Sahedan, Penyelaras Kampus Sejahtera USM.

Peranan kesemua Pegawai Kelestarian tersebut adalah untuk merancang, melaksana, mencatat, memantau dan mendokumentasi apa jua aktiviti kelestarian yang dilaksanakan oleh PTJ masing-masing, yang mana seterusnya akan diperkukuhkan dan dijadikan norma setiap PTJ.

Selain itu, segala aktiviti tersebut juga akan dapat menyokong secara keseluruhan pencapaian ‘ranking’ universiti yang telah diiktiraf di posisi ke-4 dunia dalam penarafan THE-IR 2023 baru-baru ini.

Program ini turut disokong oleh Unit Kelestarian Kampus, Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi.

Pada masa yang sama juga, naskah rujukan ‘Garis Panduan Pejabat Hijau & Desasiswa Hijau’ (GreenOffice@USM, GreenDesa@USM) juga diedarkan kepada semua Pegawai Kelestarian sebagai sumber rujukan dalam melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian di setiap PTJ.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin 

  • Created on .
  • Hits: 703

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024