USM-BFSU METERAI MoU: USAHA MEMPERKASA BAHASA MELAYU DI PERINGKAT ANTARABANGSA
PUTRAJAYA, 9 Ogos 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Kursi Pengajian Melayu bersama Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.
Berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), objektif MoU ini merupakan simbolik kepada kerjasama dan jalinan strategik antara Universiti di Malaysia dan di luar negara dalam usaha memperkasa Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Kursi Pengajian Melayu di BFSU yang ditubuhkan sejak tahun 2007 berperanan untuk:
1. Menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah, budaya, ekonomi, sosial dan politik di Malaysia;
2. Meluaskan pengaruh Bahasa Melayu di rantau Asia Timur; dan
3. Mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara.
Majlis penandatanganan MoU itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan Presiden BFSU, Profesor Dr. Jia Wenjian, disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Azlinda dalam ucapannya berkata, bagi merealisasikan hasrat Model Baharu Kursi Akademik Luar Negara, Kementerian telah melantik USM sebagai rakan strategik KPT dan akan menjalankan fungsi bagi pihak Kerajaan Malaysia sepanjang MoU ini berkuatkuasa.
“Pelantikan USM sebagai rakan strategik ini juga merupakan langkah awal Kementerian untuk menggerakkan kursi akademik ini.
Kementerian juga akan melantik beberapa UA yang telah dikenal pasti bagi menggerakkan kursi akademik luar negara yang lain,” tambah Azlinda.
Menurut Abdul Rahman, melalui kerjasama baharu yang ditandatangani pada hari ini, USM akan meneruskan pelaksanaan aktiviti-aktiviti kerjasama ini dan telah merangka beberapa rancangan masa hadapan Kursi Pengajian Melayu antara USM dan BFSU ini.
“Antara aktiviti kerjasama yang dirancang adalah Penganjuran bersama USM-BFSU- Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China pada bulan Mei 2024 bersempena dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang ke-50 yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia.
"Selain itu, USM turut merancang untuk penganjuran bersama USM-BFSU Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya yang ke-5 di Beijing China,” kata Abdul Rahman.
Harapan Abdul Rahman adalah dengan kerjasama ini, agenda memartabatkan Pengajian Melayu di persada antarabangsa akan terus diperkasakan dari masa ke semasa.
Sementara itu, Jia Wenjian dalam ucapannya berkata, beliau yakin dengan termeterainya MoU ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran jurusan Bahasa Melayu di BFSU malah di seluruh negara China.
“Kerjasama ini juga dapat meningkatkan komunikasi, pertukaran dan kerjasama dua hala antara negara China-Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan serta pelbagai sektor yang lain,” katanya.
Tambah Jia Wenjian, dengan berlangsungnya majlis ini juga akan mempertingkatkan hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua buah negara ini ke satu tahap baharu dan merintis kejayaan yang lebih cemerlang dalam sejarah hubungan China dan Malaysia.
Turut diselitkan dalam majlis adalah pelancaran buku Koleksi Konsep Falsafah, Pemikiran dan Budaya China (Jilid 1-5), terbitan Penerbit USM dengan kerjasama Foreign Language Teaching and Research Press (FLTRP), BFSU melalui geran projek terjemahan, yang disempurnakan oleh Azlinda.
Kursi Pengajian Melayu di BFSU telah ditubuhkan sejak tahun 2007 dan memainkan peranan sebagai satu Pusat Pengajian Melayu bagi memperluas pengaruh Bahasa Melayu di negara-negara wilayah Asia.
BFSU adalah rakan lama kolaborasi USM sejak tahun 2014 lagi dan USM telah pun menjalankan beberapa aktiviti pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dilaksanakan USM di China melalui aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan dan Penerbitan serta Jaringan Kerjasama.
Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Dato’ Profesor Dr. Norzaini Azman; Timbalan-timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Awam dan Universiti Swasta; dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong; pensyarah PPIK yang terlibat secara langsung dalam jalinan kerjasama ini, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong; dan Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 870