MAHASISWA USM SANTUNI PELAJAR TINGKATAN 6 DALAM PROGRAM SEMARAK SISWA MADANI: SELANGKAH KE UNIVERSITI 2023
USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2023 – Seramai 47 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertindak sebagai fasilitator dengan dibantu oleh 8 penceramah dan 20 urusetia telah menyantuni hampir 1,500 pelajar Tingkatan 6 dari 15 buah sekolah terpilih di 5 daerah utama di Pulau Pinang dalam Program Semarak Siswa Madani (SSM): Selangkah ke Universiti 2023.
Program tersebut telah berlangsung dari 24 Julai hingga 27 Julai 2023.
Ketua penyelaras program tersebut, Zulkifli Che Hussin, yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Bakat (TDC), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM berbesar hati kerana program yang julung kali diadakan itu telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada pelajar-pelajar Tingkatan 6 dari sekolah-sekolah yang terbabit.
“Semoga program ini dapat membuka minda pelajar untuk terus mengatur langkah dalam membuat pilihan yang bijak dalam menentukan hala tuju seterusnya demi mencapai kejayaan di peringkat yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Profesor Dr. Azlan Amran yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor HEPA USM mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir dan terlibat dalam menjayakan program tersebut, serta yakin bahawa program tersebut dapat memberikan impak positif kepada pelajar-pelajar yang hadir khususnya mereka dari golongan B40.
Program Semarak Siswa Madani (SSM) yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tanggal 16 Jun 2023 lalu merupakan usaha kementerian memberi panduan kepada para mahasiswa/i serta Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) untuk berbakti kepada komuniti dengan menawarkan empat (4) komponen pelaksanaan iaitu KPT Prihatin Madani, Student for Society (S4S), Knowledge Transfer Program @ Komuniti, dan TVET @ Komuniti Madani.
Teks asal: NirMaryadi Rashid (Unit Media dan Dokumentasi BHEPA)/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 366