UNIT DEBAT, PERSATUAN BAHASA TIONGHUA HARUMKAN NAMA USM DALAM PERTANDINGAN DEBAT CINA ASIA PASIFIK KE-11
USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2023 – Profesor Dr. Azlan Amran, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM dan warga USM mengucapkan TAHNIAH DAN SYABAS kepada Unit Debat, Persatuan Bahasa Tionghua kerana mengharumkan nama Malaysia dan Universiti Sains Malaysia di peringkat antarabangsa dengan memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Debat Cina Asia Pasifik Ke-11 anjuran Universiti Teknologi Nanyang, Singapura yang berlangsung pada 5-9 Julai 2023 yang lalu.
Pertandingan itu mendapat penyertaan daripada 24 buah universiti dari beberapa buah negara lain iaitu China, United Kingdom, Singapura, Australia, Scotland dan Amerika Syarikat.
Persatuan Bahasa Tionghua, USM telah menghantar enam peserta yang terdiri daripada Chen Kian Ka (Pelajar Tahun 1, Pusat Pengajian Pengurusan); Lam Joo Yee (Pelajar Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Fizik); Loo Fang Ting (Pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Komunikasi); Cheah Mei Yee (Pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Komputer); Shiji Yin (Pelajar Sarjana Tahun 1, Pusat Pengajian Teknologi Industri); dan Teo Zhi Zhen (Pelajar Sarjana Tahun 4, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan).
Debat merupakan satu aktiviti yang memupuk pemikiran secara kritis dan kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa/i USM selaras dengan elemen-elemen HEBAT seperti kerja kumpulan dalam elemen holistik, komunikasi dalam elemen artikulasi, serta pemikiran kritis dan penyelesaian masalah dalam elemen berfikir.
Oleh yang demikian, Persatuan Bahasa Tionghua USM akan kekal memartabatkan budaya ini dengan memperbanyakkan penganjuran dan penyertaan aktiviti-aktiviti debat secara berterusan.
Teks/foto: Kim Hwee (YDP Persatuan Bahasa Tionghua USM)/Suntingan: NirMaryadi Rashid, (Unit Media dan Dokumentasi, BHEPA, USM)
- Created on .
- Hits: 391