MENEROKA POTENSI TEKNOLOGI 3D X-RAY MICRO CT DALAM SEMINAR PPAG USM 2023
USM PENANG, 4 Ogos 2023 - Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Novatiq Scientific Sdn. Bhd. hari ini telah menganjurkan Seminar 3D X-ray Micro CT 2023, bertempat di Dewan Kuliah A, USM.
Seminar ini merupakan sebuah program yang julung kali diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kecanggihan teknologi 3D X-ray Micro CT dan juga untuk mempromosikan makmal arkeologi dan sains di USM.
Selain itu, ia juga merupakan satu platform bagi menyebarkan kepentingan dan kelebihan kaedah 3D X-ray Micro CT dalam bidang penyelidikan dan industri, yang mana ia juga menjadi satu wadah yang sangat berharga bagi para pelajar, penyelidik, akademik dan profesional daripada pelbagai bidang.
Hadir bagi merasmikan program adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab.
Habibah dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau percaya seminar ini akan memberi sinergi positif kepada peningkatan kefahaman dan penggunaan 3D X-ray Micro CT dalam penyelidikan dan aplikasi semua agensi yang terlibat di masa hadapan.
“Melalui seminar ini, kita juga dapat membina rangkaian profesional dan bertukar idea yang akan membawa kepada kolaborasi dan pencapaian yang lebih besar.
“Harapan saya adalah agar program ini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada warga pelajar dan penyelidik USM tetapi juga agensi kerajaan dan swasta yang lain. Nasihat saya, gunalah peluang ini untuk berinteraksi dengan pakar dan berkongsi pandangan serta pengetahuan berkaitan,” kata Habibah.
Sementara itu, Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon berharap agar seminar ini akan menjadi titik permulaan yang positif dalam perkembangan perkongsian ilmu dan aplikasi sains antara semua agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan di negara ini.
Beberapa tajuk menarik yang mewakili bidang arkeologi, warisan, muzium, industri dan penyelidikan dibentangkan dan dikupas dalam program satu hari itu.
Hadir sama adalah Pengurus Jualan Novatiq Scientific Sdn. Bhd., Charles Hooi Shun Jian; Timbalan Pengarah PPAG USM, Dr. Velat Anak Bujeng; Pensyarah Kanan, Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ts. Dr. Hidayah Abdul Hassan dan Dr. Mohd. Zul Hanif Mahmud serta pegawai-pegawai utama agensi kerajaan.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 798