USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEPAKARAN USM UNTUK MASYARAKAT

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mei 2015 - Kepakaran yang ada di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah untuk masyarakat seluruhnya, misalnya dengan menubuhkan Makmal Molekular untuk pesakit leukemia, menyediakan pakar dalam bidang Perubatan Kecemasan dan memperkukuh usaha dalam membantu pesakit kanser.

Hal ini dinyatakan oleh  tiga orang profesor dari Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia melalui Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang diadakan di sini baru-baru ini.

Dalam syarahan bertajuk “Penyakit Leukemia Akut: Kepincangan Genetik Dan Evolusi Klonal Sel Darah”, Profesor Dr. Rosline Hassan berkata terdapat penemuan baharu dalam perawatan penyakit leukemia di negara ini hasil dari penyelidikan yang dilakukan sejak  tahun 2003 dengan dibantu oleh beberapa orang ahli akademik lain seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Baba, Profesor Madya Dr. Ariffin Nasir, Dr. Muhammad Farid Johan dan beberapa orang lagi serta turut melibatkan kakitangan sokongan seperti Pegawai Sains dan Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) USM.

Rosline, pakar dalam bidang Hematologi berkata antara lain impak daripada hasil kajian yang dijalankan ialah USM kini mampu memberi perkhidmatan dalam menyaring ujian untuk pelbagai penyakit Hematologi termasuk Leukemia manakala  ujian yang dijalankan pula mampu mengesahkan dengan tepat jenis penyakit yang dialami bagi mempercepatkan proses rawatannya.

“USM menubuhkan Makmal Molekular yang berfungsi untuk memberi perkhidmatan ujian berkaitan kepada para pesakit Leukemia dan penyakit-penyakit Hematologi lain serta menjadi rujukan di seluruh negara,” kata Rosline.

Penyelidikan berkaitan penyakit Leukemia dilakukan dengan kerjasama pakar-pakar dari  Amerika Syarikat dan Kanada untuk mencari  kaedah rawatan terbaharu yang tertumpu kepada faktor genetik dan darah yang  menunjukkan hasil yang positif.

Profesor Dr. Kamarudin Jaalam  pula menyampaikan syarahan  bertajuk “Dari Kelantan Ke Afghanistan: Menyingkap Perjalanan Perubatan Kecemasan” yang menekankan kepada pentingnya sumbangan bidang Perubatan Kecemasan di negara ini.

Menurut Kamarudin yang mempunyai kepakaran dalam bidang Perubatan Dalam, Respiratori & Rawatan Rapi berkata, Malaysia kini boleh berbangga dengan  kecanggihan kemudahan dalam Perubatan Kecemasan serta bertambahnya bilangan pakar yang dihasilkan oleh USM.

"USM memulakan pengajian di peringkat Sarjana Perubatan Kecemasan pada tahun 1998 sebagai pelopor di dalam negara mahu pun di Asia Tenggara,” kata Kamarudin.

Tambahnya lagi, sehingga kini USM telah mengeluarkan seramai 131 orang siswazah Sarjana Perubatan Kecemasan USM yang menjadi rujukan kepada universiti lain dalam memantapkan kurikulum pengajian dalam bidang berkaitan.

Kamarudin juga memberitahu, dalam keadaan iklim dunia kini yang semakin tidak menentu serta dilanda dengan pelbagai musibah seperti banjir dan kemarau, gempa bumi serta sebagainya sememangnya memerlukan khidmat daripada pasukan pakar Perubatan Kecemasan untuk tampil menghulurkan bantuan tidak kira di mana sahaja di muka bumi ini.

“Pakar Perubatan Kecemasan kita telah banyak menabur bakti dalam bencana alam yang berlaku, contoh terdekat apabila Malaysia dilanda dengan banjir besar 2014, kita turun pandang membantu sedaya yang mampu tanpa mengira masa dan waktu,” ujarnya lagi.

Profesor Dr. Hasnan Jaafar, pakar dalam bidang Patologi pula mengingatkan tentang pentingnya masyarakat bersama-sama memainkan peranan dalam menghadapi pertambahan bilangan pesakit kanser di negara ini.

Dalam syarahannya, “Memahami Penyakit Kanser Dan Usaha Mengatasinya: Peranan Kita Semua”. Hasnan menekankan kepentingan semua pihak untuk  lebih memahami tentang penyakit ini dan tahu kaedah yang betul dalam mengatasinya daripada terus merebak dan parah.

Menurut Hasnan, secara umumnya masyarakat perlu sedar dan peka dengan masalah penyakit ini dari segi biologinya dan fizikalnya agar lebih bersedia untuk mencegahnya kelak.

“Berdasarkan penyelidikan yang dibuat didapati hanya sebahagian kecil masalah kanser berpunca daripada gen rosak melalui waris atau keturunan tetapi punca pemakanan yang tidak sihat dan mengandungi bahan kimia berlebihan, tabiat merokok dan minum arak, virus dan kuman persekitaran adalah faktor utamanya,” ujar beliau.

“Tahap kesedaran masyarakat Malaysia terhadap penyakit kanser masih berada di paras yang rendah yang memerlukan pihak berkuasa lebih proaktif menjalankan kempen dalam kalangan semua lapisan masyarakat supaya lebih tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing,” tambah Hasnan.

Kata Hasnan lagi, Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun misalnya boleh diadakan di mana sahaja sama ada  di bandar-bandar besar mahupun di kawasan terpencil agar maklumatnya sampai kepada masyarakat umum.

“Jangan takut dengan kanser, tapi kita perlu tahu apa perlu dilakukan secara cara betul dan tepat,” jelasnya.

Hadir mengikuti syarahan umum ini  ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri Datin Dr. Aishah Knight Abd Sattar, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Abdul Halim, tetamu jemputan dan warga kampus. - Teks: Mohd Rodin Che Yusoff/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri

  • Created on .
  • Hits: 1221

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024