USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GSB USM TERIMA AKREDITASI AACSB BERPRESTIJ UNTUK 5 TAHUN AKAN DATANG

USM PULAU PINANG, 1 Ogos 2023 – Selepas enam tahun (2017-2023) berusaha tanpa henti, dan dengan sokongan dan komitmen daripada pengurusan tertinggi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) USM akhirnya berjaya menerima secara rasmi Akreditasi AACSB untuk 5 tahun akan datang (2023-2028).

WhatsApp Image 2023 08 04 at 10.34.15

Pihak pusat pengajian ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas sokongan berterusan beliau yang telah membolehkan GSB berjaya mencapai akreditasi ini.

“Kami ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan pusat pengajian dalam proses akreditasi ini, daripada staf akademik dan pentadbiran kami kepada semua pelajar, alumni dan rakan usahasama industri kami,” kata Dekan GSB, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim.

Ditubuhkan pada 1916, Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) ialah badan akreditasi global yang paling lama berkhidmat untuk pusat-pusat pengajian perniagaan, selain menjadi rangkaian pendidikan perniagaan terbesar yang menghubungkan pelajar, pendidik dan perniagaan di seluruh dunia.

Akreditasi AACSB mengiktiraf institusi-institusi yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam semua bidang, termasuk pengajaran, penyelidikan, pembangunan kurikulum dan pembelajaran pelajar.

Sinonim dengan standard kualiti tertinggi, akreditasi AACSB memberi inspirasi kepada cara pemikiran baharu dalam pendidikan perniagaan secara global.

Akibatnya, kurang daripada 6 peratus pusat-pusat pengajian di dunia yang menawarkan program ijazah perniagaan memiliki akreditasi perniagaan AACSB.

Berdasarkan statistik tahun 2023, hanya terdapat 988 institusi merentasi 62 negara dan wilayah di seluruh dunia yang memperoleh akreditasi AACSB dalam perniagaan, dan GSB berbangga ialah salah satu daripadanya.

Akreditasi AACSB adalah bukti komitmen GSB dalam menyampaikan kecemerlangan dan standard tinggi dalam pendidikan perniagaan.

Semoga ini menandakan permulaan dan lembaran baharu bagi GSB untuk meneroka lebih banyak peluang untuk penambahbaikan dan pertumbuhan berterusan, dan pada masa yang sama, berpegang kepada misi kami iaitu "Memupuk pemimpin perniagaan yang bertanggungjawab yang memiliki ilmu dan kemahiran yang relevan yang diperlukan untuk memacu kemampanan perniagaan."

Terjemahan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 262

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024