PROMOSI POTENSI PERTUMBUHAN YANG OPTIMUM DALAM KALANGAN BAYI DAN KANAK-KANAK FOKUS UTAMA PERSIDANGAN IYCF
KOTA BHARU, KELANTAN, 1 Ogos 2023 – Pemakanan sihat di samping penjagaan kesihatan yang baik semasa proses tumbesaran awal kanak-kanak adalah penting bagi mencapai permulaan yang baik dalam kehidupan.
1,000 hari pertama yang bermula sejak dalam kandungan sehingga dua (2) tahun usia kanak-kanak adalah fasa yang sangat kritikal untuk pertumbuhan dan perkembangan, yang mana pemakanan memainkan peranan utama dan kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang sihat dan cukup khasiat lebih berprestasi di sekolah dan berjaya mencapai potensi penuh.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dato’ Dr. Zaini Hussin, inisiatif penganjuran ‘3rd National Infant and Young Child Feeding Scientific Conference’ (IYCF) oleh JKNK, Universiti Sains Malaysia (USM) dan ‘World Alliance for Breastfeeding Action’ (WABA) sangat bertepatan dengan tujuan mengumpul pakar-pakar untuk berbincang dan berkongsi kepakaran berhubung penyusuan susu ibu, pemakanan untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak kecil.
“Sesetengah masalah tumbesaran boleh dikesan sejak lahir, yang mana bayi mungkin lebih kecil berbanding umurnya.
“Walau bagaimanapun, kebanyakan masalah tumbesaran hanya dapat dikesan apabila kanak-kanak tersebut kelihatan lebih kecil daripada rakan sekelasnya atau apabila pertumbuhan mereka kelihatan tidak ketara dalam tempoh masa tertentu.
“Bagi menangani masalah ini dan untuk mengesan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan pemantauan tumbesaran secara berkala di peringkat jagaan primer iaitu dari tempoh kanak-kanak tersebut lahir sehingga berumur 5 tahun,” katanya yang mewakili Menteri Kesihatan Malaysia ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan tersebut.
Zaini berkata, Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kadar obesiti dan bantut selain masalah kekurangan mikronutrien yang agak membimbangkan.
“Kekurangan zat makanan boleh dicegah melalui pemahaman yang betul tentang peranan yang dimainkan oleh pelbagai sektor.
“Strategi kerjasama ini digariskan dengan jelas dalam Pelan Tindakan Kebangsaan Pemakanan Malaysia III (2016-2025) menerusi Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 yang dilancarkan pada 27 Julai 2021 sekaligus membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan pemakanan jangka hayat di negara ini,” jelasnya lagi.
Tambah Zaini, pada tahun 2022, ‘National Health and Morbidity Survey’ (NHMS) melaporkan prevalens permulaan penyusuan awal dalam tempoh 24 jam ialah sebanyak 88.6 peratus (%) dan penyusuan berterusan dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 23 bulan hanyalah 50.6%.
“Salah satu strategi untuk menggalakkan penyusuan bayi dan anak kecil ialah menggalakkan ibu menyusu secara eksklusif sehingga bayi berusia enam (6) bulan,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran persidangan itu dan berharap agar pertambahan ilmu baharu dapat menyumbang serta dikongsi bersama dalam proses mempromosi pertumbuhan bayi dan kanak-kanak.
“Persidangan ini membuka peluang kepada para peserta dalam menitikberatkan tumbesaran anak-anak yang sempurna selain membawa pulang ilmu dalam meningkatkan pemahaman orang ramai berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan pemakanan bayi dan kanak-kanak kecil seterusnya menyumbang kepada proses menggalakkan potensi pertumbuhan optimum bayi dan kanak-kanak,” katanya yang menyampaikan ucapan secara maya.
Turut berlangsung dalam majlis ini ialah perasmian Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat negeri Kelantan yang disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengerusi Emeritus ‘World Alliance for Breastfeeding Action’ (WABA), Dato’ Seri Dr. Mohammed Anwar Mohammed Fazal; Pengarah Bahagian Pemakanan, KKM, Rusidah Selamat; Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; Pengerusi Persidangan Kali Ke-3 IYCF yang juga Penyelaras Sekretariat Laktasi, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman; dan Pengerusi Bersama Persidangan Kali Ke-3 IYCF yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) JKNK, Puspawati Mohamed.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 317