USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM DILANTIK ANGGOTA MAJLIS PROFESION KESIHATAN BERSEKUTU MALAYSIA (MPKBM) SESI 2023-2026

18e8316e 2a20 4e23 9584 486f07075a37

PULAU PINANG, 31 Julai 2023 – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid telah dilantik sebagai Anggota Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) bagi sesi 2023-2026.

Beliau menerima watikah pelantikan tersebut daripada Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa, yang mana lantikannya ialah bagi tempoh 3 tahun bermula 9 Julai 2023 hingga 8 Julai 2026.

Abdul Hafiz dilantik kerana kepakarannya dalam bidang Entomologi Bandar dan Industri.

Lantikan tersebut juga menunjukkan pengiktirafan yang tinggi terhadap kepakaran dan pengalaman penglibatannya serta sumbangan beliau dalam bidang entomologi bandar dan kesihatan awam.

Beliau pernah terlibat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Ketua dalam Pembangunan Garis Panduan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (Program Standard) - Ahli Entomologi Kesihatan Awam.

Beliau juga terlibat secara tidak langsung dengan KKM sebagai Pakar Rujuk untuk Konsultasi Profesion Ahli Entomologi (Kesihatan Awam) Bagi Persediaan Pelaksanaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu (Akta 774).

Sebagai Ahli Kehormat (Honorary Member) yang dilantik oleh Malaysia Pest Management Association (MPMA) sejak tahun 2015, beliau memainkan peranan sebagai penasihat untuk program dan latihan berkaitan dengan penyelesaian masalah kawalan serangga perosak bandar, dan terlibat juga dengan membangunkan bengkel dan seminar yang berkaitan untuk pengendali syarikat kawalan serangga perosak.

Selaku Presiden Entomological Society of Malaysia (ENTOMA) bagi penggal 2023/2024, Abdul Hafiz memainkan peranan penting dalam mempromosikan kesedaran tentang pentingnya entomologi dalam kesihatan masyarakat.

Keahlian beliau dalam bidang berkenaan telah memberikan sumbangan besar kepada pemahaman dan pengawalan penyakit berjangkit yang berhubungan dengan serangga.

Pihak USM mengucapkan tahniah atas pelantikan Abdul Hafiz sebagai Anggota MPKBM dan berharap beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanah dengan penuh dedikasi bagi memastikan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan dalam usaha memartabatkan Profesion Kesihatan Bersekutu di Malaysia.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Infografik: Pereka MPRC   

  • Created on .
  • Hits: 981

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024