USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-CANON USAHA BANGUNKAN KREATIVITI PELAJAR DAN MEMAJUKAN BIDANG PENDIDIKAN

362923556 689349306565155 7878716385032675324 n

USM PULAU PINANG, 26 Julai 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. hari ni telah memeterai satu memorandum perjanjian (MoA) dalam usaha untuk membangunkan kreativiti pelajar di samping memajukan lagi bidang pendidikan melalui penggunaan teknologi digital.

Menandatangani bagi pihak USM ialah Naib Canselornya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli (mewakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi USM) sebagai saksi.

Sementara itu, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shunji Yoshikai, dan Pengarah Kanan, Bahagian Produk Pengimejan Pejabat, Yoshiee Masato sebagai saksi.  

Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata, ini adalah salah satu usaha berterusan universiti ke arah mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

Menurut beliau lagi, USM amat berbesar hati menerima Canon yang terkenal sebagai peneraju bidang pendigitalan dan pengimejan pintar sebagai rakan kolaborasi dalam membangunkan kreativiti dan bakat para pelajar.

“Kerjasama ini pasti akan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar sambil melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan penting pada era yang didorong oleh digital ini.

“Dengan menyepadukan kepakaran industri serta pengetahuan akademik, kita dapat melahirkan pelajar yang bersedia menyumbang kemahiran mereka untuk industri kreatif dan digital secara berkesan.

“Diharap agar kerjasama rapat bersama Canon ini dapat merealisasikan visi lestari kami serta ekosistem pendidikan yang sedia buat masa hadapan,” tambah Abdul Rahman.

Dalam menyahut usaha USM untuk berkolaborasi, Shunji berkata, “Canon yang berpegang kepada falsafah ‘Kyosei’ amat menekankan konsep bekerjasama ke arah mencapai manfaat bersama, dan usaha kolaborasi ini pastinya akan dapat memberi pelajar pendedahan dan kemahiran berkaitan era digital yang dinamik, di samping menyediakan mereka untuk dunia korporat dalam pelbagai industri di masa hadapan.”

“Kerjasama ini juga membolehkan pihak Canon menjalankan program bengkel fotografi dan videografi bersama staf dan pelajar USM dalam usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka, menjadi penaja kepada program ‘Festival Filem Anak Muda’ yang dijalankan oleh Dewan Budaya USM dan Sekretariat Protege, di samping membekalkan peralatan kamera bagi menyokong usaha kreatif para pelajar terbabit.

"Kami sangat teruja kerana dapat bekerjasama dengan USM, dan pastinya MoA ini mengukuhkan lagi peranan Canon sebagai rakan kerjasama rasmi USM dalam bidang teknologi pintar dan pengimejan,” katanya lagi.  

Susulan dari MoA ini, fasa kedua kolaborasi akan dijalankan bersama Pusat Pengajian Komunikasi USM dan Pusat Pengajian Seni USM, yang akan melihat pada bengkel videografi, fotografi, sumbangan peralatan pembelajaran dan pengajaran termasuk kerjasama akademik yang melibatkan kepakaran bersama.

Perkara ini dikongsi oleh Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar bersama Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Izzal Asnira Zolkepli; dan juga Dekan PP Seni, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Ini antara lain bakal membantu perkembangan bakat dan minat para pelajar yang sedang menjalani pengajian di kedua-dua pusat pengajian tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Kebudayaan Kanan USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; pegawai-pegawai utama USM; dan pegawai-pegawai utama Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 328

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024