USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPFA 2023 HIMPUN 450 PESERTA SELURUH DUNIA BINCANG BIDANG ANALISIS KEGAGALAN LITAR BERSEPADU

362924709 688634379969981 441607520269454949 n

BATU FERRINGHI, PULAU PINANG, 25 Julai 2023 – ‘International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits’ (IPFA) 2023 merupakan medium terbaik untuk para penyelidik dari seluruh dunia berbincang dan membentangkan hasil kajian teknologi pengujian dan pencirian cip litar bersepadu (IC) yang merupakan proses akhir di dalam pembangunan industri semikonduktor.

Simposium yang berlangsung di Bayview Beach Resort, Batu Ferringhi selama empat (4) hari bermula 24 Julai itu merupakan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) dengan kerjasama organisasi profesional teknikal terbesar dunia, 'Institute of Electrical and Electronics Engineers' (IEEE) iaitu IEEE RS/EPS/EDS Singapore Chapter dan IEEE Penang Chapter.

Ini juga merupakan kali pertama simposium tersebut diadakan di Malaysia setelah hampir tiga dekad penganjurannya.

Hadir mewakili Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyempurnakan perasmian simposium itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Megat Sany, dalam ucapan perasmiannya berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan pemacu industri pembuatan Malaysia.

“Menurut MIDA, pada tahun 2022, hampir separuh daripada jumlah nilai pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor industri pembuatan adalah daripada industri E&E terutamanya industri semikonduktor yang menyumbang sebanyak RM22.6 bilion.

“Berdasarkan statistik pada tahun 2023, nilai eksport produk E&E di Malaysia adalah kira-kira RM593.5 bilion meningkat daripada tahun 2021 sebanyak RM455.95 bilion.

“Oleh itu, penghasilan saluran bakat (talent pipeline) berkualiti tinggi merupakan agenda utama KPT melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kebangsaan seperti Talent Corp, CREST, rakan kongsi industri, MIDA dan sektor swasta,” katanya.

Tambah Megat Sany, simposium kali ini menghimpunkan kira-kira 450 wakil industri, ahli akademik, saintis, penyelidik dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia dalam membincangkan dan menangani teknologi semasa dan masa hadapan serta analisis kegagalan litar bersepadu.

“Dengan jumlah peserta yang ramai, saya percaya objektif IPFA 2023 dapat menyerlahkan kepentingan analisis kegagalan litar bersepadu dan keperluan segera yang diperlukan dalam menetapkan hala tuju dan laluan yang boleh dicapai melalui teknologi semikonduktur,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, Pulau Pinang merupakan penyumbang berterusan eksport E&E negara iaitu antara 56% dan 60% terutamanya bagi industri semikonduktor sejak empat (4) tahun lalu.

“Institusi pengajian tinggi menjadi tonggak utama dalam menyediakan program akademik yang komprehensif dan menghasilkan para profesional yang berkemahiran tinggi bagi menyokong permintaan daripada industri.

“Selaras dengan agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) USM dan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Negara Malaysia 2015-2025, pelbagai inisiatif berasaskan perindustrian diterokai dengan agensi kebangsaan yang lain seperti MITI, MIDA, NCIA, Talent Corp dan CREST serta industri semikonduktor di utara semenanjung bagi memastikan kerelevanan bakat kita kepada industri,” jelasnya.

Menurut Abdul Rahman, salah satu program ialah 'Industry Academia Collaboration' (IAC) yang diperkenalkan oleh Talent Corp yang bertujuan untuk menangani cabaran berkaitan bakat, menyediakan peluang latihan dan kemudahan penyelidikan.

"Selain itu, 'Structure Industrial Apprenticeship Programme' (SIAP), yang dimulakan oleh MIDA, MIMOS, CREST dan KPT yang diselaraskan oleh CEDEC USM turut memberi tumpuan kepada penyediaan graduan universiti dengan kompetensi dan kemahiran yang diperlukan dalam reka bentuk IC,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, inisiatif dan kerjasama ini mencerminkan komitmen USM dalam menerajui ke arah memupuk kerjasama universiti-industri dalam inovasi saintifik dan teknologi serta pembangunan profesional mahir dalam bidang teknologi semikonduktor.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Dato’ Mohd Sharil Abdullah; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; Pengurus Teknikal Program, Intel Malaysia merangkap Pengerusi IPFA 2023, Dr. Ng Chi Yung; Pengarah CEDEC USM merangkap Pengerusi Bersama IPFA 2023, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf serta wakil-wakil industri dan rakan kolaborasi.

Teks: Nour Aida Azreena Ahmad Zulman/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 255

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024