PROGRAM ABrC YOUNG SCIENTISTS 2023 TARIK MINAT PELAJAR SEKOLAH DALAMI ILMU SAINS TULEN
BUKIT JAMBUL, PULAU PINANG, 25 Julai 2023 – Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis (ABrC) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Program ABrC Young Scientist 2023, bertempat di Inkubator Inovasi Universiti (I2U), Kampus Sains @USM, Bukit Jambul.
Seramai 32 orang peserta daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir (SMKBG) yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat aliran sains dan pelajar tingkatan tiga yang terpilih untuk menyertai program ini.
Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan aktiviti makmal secara praktikal berkaitan ilmu Mikrobiologi dan Molekular Biologi di samping menarik minat murid untuk terus menceburi bidang sains pada masa hadapan.
Menurut Pengarah ABrC, Profesor Dr. Zafarina Zainuddin dalam ucapan aluannya berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan minat para peserta terhadap mata pelajaran sains tulen.
“Para peserta perlu mula menanamkan minat dalam mata pelajaran tersebut supaya apabila mereka mula menghadapi peperiksaan, subjek sains akan terasa dekat di hati dan mendorong mereka untuk berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Zafarina yang juga merupakan Pensyarah pertama di Malaysia dengan kelulusan PhD dalam bidang DNA Forensik turut berkongsikan beberapa ilmu DNA seperti penyelidikan DNA yang pernah dilakukannya terhadap penumpang pesawat yang terhempas pada zaman perang dunia kedua.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta yang hadir di atas usaha mempunyai kemahuan untuk mempelajari bidang sains, dan harapannya adalah agar aktiviti yang dilakukan oleh para peserta dapat membangunkan kemahiran mereka dalam subjek sains.
Sementara itu, guru pengiring SMKBG yang juga merupakan guru subjek Biologi sekolah itu berkata, beliau berharap dengan aktiviti yang dijalankan di pusat penyelidikan tersebut, dapat menarik minat para peserta terutamanya peserta tingkatan tiga.
“Tidak ramai pelajar yang mempunyai minat dalam bidang sains tulen, dan diharapkan agar aktiviti seperti ini dapat menggalakkan mereka untuk menanamkan minat terhadap matapelajaran tersebut,” katanya.
Para peserta kemudiannya dibawa ke makmal pusat penyelidikan yang mana mereka diberi peluang untuk menjalankan aktiviti hands-on mengikut modul-modul yang disediakan.
Antara modul yang diperkenalkan adalah What We Can’t See with Our Naked Eyes? dan Introduction to DNA: Genes in a Bottle.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Faizal Ashraf Ali
- Created on .
- Hits: 680