USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENJELAJAHI HARTA KARUN LEMBAH BUJANG: LAWATAN MENTERI DAN NAIK TARAF PAMERAN

USM PULAU PINANG, 20 Julai 2023 – Muzium Arkeologi Lembah Bujang baru-baru ini telah menerima delegasi lawatan kerja diketuai Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang diiringi oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon dan Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw.

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.05.46 1

Keberadaan Aaron Ago di muzium tersebut adalah mengikut kerangka lawatan kerja beliau ke muzium-muzium yang berada di bawah pengurusan Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Nasha yang dilantik sebagai perunding untuk menaik taraf pameran di Muzium Arkeologi Lembah Bujang telah menerima projek rundingan melalui Usains Holding Sdn. Bhd. dan beliau dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan ‘storyline’ bagi galeri di muzium tersebut serta menyediakan kapsyen bagi artifak-artifak yang bakal dipamerkan.

Menurut Nasha dalam satu sesi temubual melalui emel, objek-objek yang bakal dipamerkan di Galeri tersebut terdiri daripada tinggalan-tinggalan arkeologi dari Lembah Bujang termasuk arca-arca Hindu-Buddha, pelapik arca, objek-objek hiasan candi, seramik asing, tembikar tanah dan manik.

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.05.43 1

Selain itu, akan turut dipamerkan ialah ilustrasi-ilustrasi yang menggambarkan hubungan Kedah Tua dengan dunia luar seperti China, India dan Asia Barat.

“Projek ini telah bermula dari 15 Mac yang lalu dan dijangka berakhir pada 27 Ogos 2023. Setelah selesai laporan penulisan storyline dan kapsyen bagi objek-objek pameran tersebut, ia akan digunakan bagi mengisi galeri tersebut,” kata Nasha.

Tambah Nasha, selain beliau, projek ini turut dibantu oleh pasukan penyelidik dari PPAG USM iaitu Dr. Nor Khairunnisa Talib, Dr. Suresh Narayanen, Profesor Dr. Stephen Chia dan En. Shyeh Sahibul Karamah Masnan.

Harapan Nasha adalah agar storyline serta kapsyen baru yang dihasilkan melalui projek ini bakal menyediakan naratif baharu kepada masyarakat umum, terutamanya mengenai tafsiran-tafsiran baru berkenaan aspek kronologi, kebudayaan, serta ekonomi masyarakat Kedah Tua.

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.05.45 1

“Galeri yang telah dinaik taraf ini juga boleh menjadi salah satu tarikan utama sebagai produk arkeo-pelancongan Kedah Tua,” menurutnya lagi.  

Hadir sama pada lawatan tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Muzium Arkeologi Lembah Bujang merupakan satu-satunya Muzium di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi yang membuktikan kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara kurun ke-3 Masehi hingga ke-12 Masehi.

Muzium ini terletak di atas Bukit Batu Pahat, Merbok, Kedah dibina untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi serta mempamerkan artifak-artifak protosejarah atau sejarah sebelum Islam dari tapak tanah bersejarah di Lembah Bujang. 

Sumber & Foto: Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon (Pengarah PPAG USM) & Dr. Nasha Rodziadi Khaw (Pensyarah Kanan PPAG USM)/Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 847

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024