USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENURUNAN KOS UTILITI DAN PENGURANGAN KADAR PENCEMARAN CO2 IMPAK PROJEK INISIATIF PENJIMATAN TENAGA USM

WhatsApp Image 2023 07 19 at 11.36.18 AM

USM PULAU PINANG, 19 Julai 2023 – "Penurunan kos utiliti Universiti Sains Malaysia (USM) daripada RM18 juta pada tahun 2014 kepada RM12 juta pada tahun 2022 merupakan antara impak positif selepas pelaksanaan polisi kecekapan tenaga di USM," demikian petikan ucapan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

c955b9a5 b62a 41b8 ab8e 7049142f5344

Abdul Rahman berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan ketika menerima kunjungan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad ke USM, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, inisiatif USM bukan sahaja memberi impak positif kepada usaha penjimatan bil, malah turut membantu dalam mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida (CO2) terhadap alam sekitar.

cd9b6456 de12 468b b20c 5ee5120bde2f

"Agenda kelestarian USM tidak terhad kepada inisiatif penjimatan tenaga sahaja tetapi turut membabitkan inisiatif serta penyelidikan yang dibangunkan selari dengan konsep kelestarian.

“USM sentiasa meneroka setiap peluang untuk menjadikan universiti ini sebagai 'role model' yang komited memperjuangkan agenda kelestarian," ujarnya.

Abdul Rahman turut menyatakan komitmen serta harapan USM untuk memperkasa peluang kerjasama khususnya dengan NRECC untuk kedua-dua pihak menjadi lebih relevan dan dominan dalam memperjuangkan agenda kelestarian baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 11.36.19 AM1

Rangka lawatan Menteri NRECC turut disertai pegawai-pegawai Suruhanjaya Tenaga dan antara atur cara sepanjang keberadaan delegasi di USM ialah meninjau projek-projek seperti ‘Micro Ground Mounted Solar’, Dewan Kuliah Z serta ‘Carport’ Kompleks Eureka.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Setiausaha Politik kepada Menteri NRECC, Mohd Syazwan Rahimy Mohd Mokhtar; Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), USM, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, USM, Ts. Arman Abdul Razak; dan Ketua Pengawai Eksekutif Ditrolic Energy, Tham Chee Aun.

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 403

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024