USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CONTOHI PERISTIWA HIJRAH RASULULLAH DALAM MEMACU KECEMERLANGAN USM

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.31.48 PM

USM, PULAU PINANG, 19 Julai 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berpesan kepada seluruh warga USM untuk terus mencontohi peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dalam merancang, melaksanakan serta menambah baik usaha-usaha universiti dalam segenap aspek.

Abdul Rahman berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Santapan Rohani Sempena Awal Muharam 1445H di Masjid Al Malik Khalid, di sini.

Abdul Rahman mengaitkan sebagaimana telitinya Rasulullah SAW serta para sahabat dalam merancang dan memastikan kejayaan hijrah serta teladan yang boleh diikuti dalam apa jua pekerjaan termasuk dalam menjalankan pelbagai urusan di universiti.

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.31.50 PM

“Antara resepi kejayaan sesuatu rancangan ialah dedikasi, kerjasama dan muafakat utuh sebagaimana yang boleh dipelajari melalui peristiwa hijrah,” katanya.

Sempena hijrah tahun ini, beliau turut menyeru warga USM untuk sentiasa memperbaiki diri, mempertingkatkan keimanan serta berusaha melaksanakan segala tindakan ke arah yang lebih baik, khususnya dalam bidang-bidang tujahan universiti iaitu akademik, penyelidikan, tadbir urus juga dalam sumbangan khidmat kepada komuniti.

Abdul Rahman dalam ucapannya turut menegaskan bahawa agenda USM APEX yang mensasarkan untuk menjayakan transformasi golongan terkebawah dalam masyarakat bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka adalah selaras dengan pengajaran peristiwa hijrah Nabi lebih 1,400 tahun dahulu.

WhatsApp Image 2023 07 18 at 10.31.52 PM

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Haji Mohammad Shukri Osman; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari; pegawai-pegawai utama USM serta kariah Masjid Al Malik Khalid USM.

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 290

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024