USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM DAN INDUSTRI DALAM PENGGUNAAN TENAGA BOLEH BAHARU BERJAYA MENCAPAI MATLAMAT KECEKAPAN TENAGA

USM PULAU PINANG, 19 Julai 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima lawatan kerja dari Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad. Beliau hadir untuk mengikuti perkembangan dan mendengar taklimat ringkas mengenai ‘Pelaksanaan Inisiatif Tenaga Boleh Baharu bagi Pengurangan Bil Elektrik di Kampus Induk USM’.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 13.09.27 1

Ketibaan beliau disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM diketuai Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed di Bangunan Canselori, USM.

Lawatan itu antara lain bertujuan untuk melihat inisiatif USM dalam usaha menjimatkan tenaga elektrik melalui Projek Inisiatif Penjimatan Tenaga di USM yang telah dimulakan sejak tahun 2013, yang mana selepas pelaksanaan polisi kecekapan tenaga ini, rekod kos utiliti USM telah berjaya diturunkan daripada RM18 juta pada tahun 2014 kepada RM12 juta pada tahun 2022.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 13.09.28

Inisiatif positif ini bukan sahaja memberi impak dalam usaha penjimatan malah turut membantu dalam mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida (CO2) terhadap alam sekitar.

Dalam sesi tersebut, Abdul Rahman dalam ucapan aluannya memberikan naratif perincian kepada pihak NRECC berkenaan usaha USM dalam memberikan penekanan khusus terhadap aspek kelestarian dan usaha USM dalam memberikan tumpuan kepada program-program akademik dan penyelidikan yang berteraskan kepada nilai (value-driven) serta berupaya memberikan impak kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) sebagaimana yang telah disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

“USM sentiasa meneroka setiap peluang untuk menjadikan universiti ini sebagai 'role model' yang komited memperjuangkan agenda kelestarian. Besarlah harapan USM untuk memperkasa peluang kerjasama khususnya dengan NRECC untuk kedua-dua pihak menjadi lebih relevan dan dominan dalam memperjuangkan agenda kelestarian baik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa,” kata Abdul Rahman.

Sesi tersebut diteruskan dengan pembentangan taklimat mengenai ‘Pelaksanaan Inisiatif Tenaga Boleh Baharu bagi Pengurangan Bil Elektrik di Kampus Induk USM’ oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Mohd Salmi Ismail.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 13.09.29 2

Mohd Salmi berkongsi tentang inisiatif baharu berkaitan kecekapan tenaga yang mana kos penjimatan dapat dicapai melalui pemasangan sistem Solar@Induk USM, iaitu sumber tenaga alternatif yang digunakan untuk menjana elektrik yang lebih efektif dan mesra alam, yang mana kos utiliti universiti telah dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus.

“Kapasiti pemasangan Sistem Solar@Induk USM adalah satu kapasiti yang terbesar di Universiti, iaitu pemasangan lebih 10.43MWp dengan hampir 22,374 PV modul solar yang meliputi 64 bangunan, 8 lokasi solar carports dan 2 struktur atas tanah di sekitar Kampus Induk USM,” katanya.

Pembentangan tersebut telah menarik perhatian Nik Nazmi dan menurutnya, USM merupakan antara institusi yang paling berjaya dan amat menakjubkan, dan beliau berpandangan bahawa USM dapat dijadikan sebagai konsultan dalam bidang penjimatan dan kecekapan tenaga.

“USM sebagai universiti APEX telah membuktikan bahawa universiti ini bukan sahaja berpotensi sebagai pengguna akhir, tetapi juga sebagai komponen penyelidikan dan pihak NRECC akan meneliti dan cuba membantu beberapa permohonan pihak universiti dari segi geran dan sebagainya,” kata Nik Nazmi.

Delegasi NRECC kemudiannya dibawa melawat tapak pembinaan Solar@Induk USM di Micro Ground Mounted Solar dan Carport Kompleks Eureka USM.

Ketua Pegawai Eksekutif Ditrolic Energy, Tham Chee Aun, selaku rakan kerjasama industri, memberikan pembentangan ringkas kepada delegasi NRECC di ruang legar Kompleks Eureka mengenai sistem aplikasi Fusionsolar PV yang diguna pakai oleh pihak USM dalam meneliti penggunaan sistem penjanaan solar di tempat-tempat pemasangan.

WhatsApp Image 2023 07 19 at 14.17.35 1

Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Dr. Azlan Amran; Setiausaha Politik kepada Menteri NRECC, Mohd Syazwan Rahimy Mohd Mokhtar; Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei; Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset, Ts. Arman Abdul Razak; pegawai-pegawai utama Suruhanjaya Tenaga, NRECC dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab. Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 682

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024