USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN SKYSCANNER BERJAYA MENDARAT DI TEMPAT KETIGA DI PERTANDINGAN DRON ANTARABANGSA

359046908 681455070687912 4808221810832885901 n

NIBONG TEBAL, 15 Julai 2023 – Sepasukan pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Aeroangkasa berjaya mendarat dan seterusnya menduduki tempat ketiga di Pertandingan Dron Dunia (World Drone Competition) di Yokohama, Jepun baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi apabila pasukan yang menggelarkan diri mereka sebagai SkyScanner ini berjaya ke peringkat akhir daripada keseluruhan 12 pasukan dari pelbagai negara seperti Turki, Sri Lanka dan India yang turut menghantar penyertaan.

“Pencapaian ini akan menjadi nilai tambah kepada kesemua yang terlibat berbanding dengan pelajar-pelajar universiti lain di Malaysia khususnya dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa,” ulas Dekan PPK Aeroangkasa, Profesor Dr. Farzad Ismail ketika dihubungi.

360092420 681455300687889 5908127147945729820 n

“Malah, ianya adalah bukti kepada usaha pusat pengajian dalam menyediakan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning) bagi menyesuaikan pelajar dengan kehendak industri sambil membangunkan kemahiran kebolehpasaran masing-masing,” tambah beliau.

Penasihat utama pasukan, Ir. Dr. Ahmad Faizul Hawary yang turut sama terbang ke bumi matahari terbit itu berkata, pujian seharusnya diberikan kepada kesemua tujuh orang pelajar tahun tiga yang terlibat atas usaha serta inisiatif mereka dalam pertandingan kali ini walaupun berdepan dengan pelbagai halangan teknikal serta komunikasi.

“Namun demikian, tidak dinafikan bahawa kita sebagai kakitangan juga perlu terlibat secara langsung di samping terus memberi sokongan kepada mereka untuk lebih bersedia menghadapi perkara di luar jangkauan terutamanya yang di luar skop pengetahuan mahupun pembelajaran dalam kelas masing-masing,” kata beliau.

360085273 681454897354596 8584509165231152516 n

“Apatah lagi penyertaan kali menyaksikan sebahagian besar cabaran perlu diselesaikan bukan ketika sesi latihan di tanah air, sebaliknya apabila berada di tempat pertandingan seperti modifikasi dron melalui pertambahan berat alat komunikasi yang perlu dipasang sebelum permulaan di mana jika ianya tidak dipatuhi, akan menyebabkan pasukan hilang kelayakan untuk terus bertanding,” tambah Ahmad Faizul.

Ahmad Faizul ketika bercakap akan perancangan masa hadapan pasukan SkyScanner turut menyatakan bahawa beliau serta pasukan telah pun dijemput untuk menyertai semula pertandingan antarabangsa ini pada tahun hadapan.

“Lebih banyak pertandingan akan diintai untuk disertai oleh SkyScanner sebagai salah satu ruang pendedahan serta pengalaman kepada pelajar terutamanya dalam meningkatkan kemahiran mereka untuk menghadapi sambil membawa misi serta nama universiti kelak khususnya dalam bidang teknikal,” kata beliau lagi.

Bagi Nur Aisyah Muhamad Shariff, 22, sebagai ketua Pasukan SkyScanner pula, pengalaman menyertai pertandingan dunia seperti ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak penyertaan yang lain di masa akan datang.

“Semoga kejayaan dalam membawa nama Malaysia di pentas dunia ini akan menjadi dorongan serta pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain di USM dan kami juga berjanji akan menjadikan pengalaman dalam pertandingan kali ini untuk menjadikan SkyScanner sebagai sebuah pasukan yang lebih baik di masa akan datang,” kata beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa

  • Created on .
  • Hits: 313

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024