USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEKUATAN PENYELIDIKAN ANTARA FAKTOR PELAJAR USM TERIMA BYDPA 2023

WhatsApp Image 2023 07 15 at 9.41.49 AM

USM PULAU PINANG, 14 Julai 2023 – Usaha penyelidikan yang dijalankan oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Nasri bin Nasehir Khan membolehkan beliau menjadi salah seorang daripada penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2023, baru-baru ini.

Penyelidikan beliau yang berfokuskan kepada Kelestarian dan Keselamatan Air (Water Sustainability and Security) adalah antara kriteria utama yang dinilai, selain pencapaian cemerlang dalam akademik dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak kepada komuniti.

Muhammad Nasri ketika dihubungi berkata, beliau amat terharu kerana terpilih menerima biasiswa berprestij berkenaan dan mengakui, ibu bapa, keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan menjadi tulang belakang kepada kejayaannya.

“Saya memang sentiasa berusaha untuk meraih kejayaan namun tanpa ada iringan doa dan sokongan dari semua pihak, saya tidak akan sampai di mana saya berada hari ini,” ujarnya yang juga pernah menerima Anugerah Pelajaran Diraja, Majlis Raja-raja ketika pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda.

WhatsApp Image 2023 07 15 at 9.41.48 AM

Beliau yang juga pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM turut berjaya bergraduasi dengan pencapaian CGPA 4.0, menjadikan beliau antara pelajar yang cemerlang sejak dari awal perjalanan beliau dalam pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, beliau mengkaji kesan beban terampai daripada kawasan padi ke atas sungai-sungai dan mencari penyelesaian terbaik bagi membolehkan rawatan air dapat dilakukan secara efektif.

“Beban terampai yang mengalir dari kawasan padi akan menyebabkan sungai menjadi keruh. Justeru, saya melihat bagaimana kesan keruh ini dapat dikurangkan, sekaligus membolehkan air dapat dirawat oleh loji rawatan air.

“Sehingga kini, di Malaysia belum ada satu standard khusus untuk proses pelepasan air secara terus dari sawah padi ke sungai-sungai. Jadi, melalui penyelidikan ini juga kita akan bangunkan satu standard untuk proses itu supaya pada akhirnya air yang dilepas serta dirawat itu akan dapat digunakan semula untuk kegunaan industri dan air minum,” katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 509

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024