USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA BERSAMA PICO XR LANGKAH USM TEROKA PELUANG MUNCUL HAB PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN SERANTAU

WhatsApp Image 2023 07 13 at 3.00.36 PM

USM, PULAU PINANG, 13 Julai 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan PICO XR, syarikat peneraju dalam bidang teknologi realiti maya (VR) memeterai hubungan kerjasama menerusi satu majlis perjanjian sumbangan (donation agreement) yang berlangsung di sini, hari ini.

Majlis pemeteraian itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengurus PICO XR Singapura dan Malaysia, Mark Li.

Menurut Abdul Rahman, kerjasama yang luar biasa ini selaras dengan visi dan misi USM untuk mempromosi serta meningkatkan kapasiti serta keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

WhatsApp Image 2023 07 13 at 3.00.36 PM 1

"Dengan menerokai bidang VR, USM mengambil langkah penting untuk memastikan kemampanan masa depan dan mengukuhkan entiti USM sebagai peneraju dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

“Para pelajar kami terdiri daripada individu yang pelbagai latar belakang dan budaya, semuanya bersatu dengan usaha bersama untuk menerima pendidikan berkualiti tinggi," katanya.

Tambah Abdul Rahman, pemacuan dan keazaman para pelajar memberi inspirasi kepada pengurusan USM untuk menambah baik program demi memenuhi permintaan landskap global pendidikan tinggi yang semakin meningkat.

Beliau turut meluahkan rasa bangga dan berbesar hati menyaksikan peningkatan yang berterusan bilangan pelajar antarabangsa di USM.

"Ini merupakan perkembangan penting selaras dengan cita-cita universiti untuk menjadi hab pendidikan berprestij di rantau ini.

“USM kini memberi tumpuan kepada proses pemantauan dan navigasi landskap teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan, 'metaverse' dan industri 4.0.

WhatsApp Image 2023 07 13 at 3.00.37 PM

"Adalah penting untuk kita memastikan semua bidang pengajian seiring dengan landskap teknologi yang sentiasa berkembang, memupuk kreativiti dan kebolehsuaian," jelasnya lagi.

Beliau berkata, dengan menerima kemajuan ini, USM akan memperkasakan pelajar dan pusat pengajian untuk berada di barisan hadapan dalam pengetahuan dan inovasi serta membuat sumbangan berharga kepada pusat pengajian masing-masing.

"Perjanjian ini membuktikan keupayaan pasukan USM untuk mengiktiraf nilai kerjasama dengan rakan kongsi industri seperti PICO XR di samping mempamerkan komitmen untuk memupuk pakatan kukuh yang merapatkan akademik dan industri.

“Acara hari ini memberi peluang kepada USM untuk menunjukkan kesediaan universiti menerima dan menggabungkan teknologi baharu terutama dalam alam maya.

"Ini merupakan bukti komitmen USM yang tidak berbelah bahagi untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai kemajuan ini dalam memastikan pelajar kami dilengkapi dengan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk cemerlang dalam dunia yang berubah dengan pantas," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Profesor Dato’ Dr. Bahari Belaton; Ketua Pemasaran Serantau PICO XR, Jess Lee; dan Pengurus Program (Latihan Industri, Aktiviti Pelajar dan Libatsama Komuniti), Pusat Pengajian Sains Komputer merangkap Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Ahmad Sufril Azlan Mohamed.

Teks: Mohamad Iqbal Bashah Ahmad Basharuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 467

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024