IMT-GT VARSITY CARNIVAL UJI JATI DIRI, SEMANGAT SETIA KAWAN DAN SEMANGAT BERPASUKAN KONTINJEN USM
USM PULAU PINANG, 4 Julai 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Ketua Kontinjen sempena 22nd IMT-GT Varsity Carnival 2023 yang akan berlangsung di Universitas Syiah Kuala, Banda Aceh, Indonesia bermula pada 8 Julai sehingga 12 Julai ini.
Ia melibatkan seramai 68 orang peserta terdiri daripada pegawai, jurulatih serta atlet dari cabang sukan, seminar dan kebudayaan, dan sebanyak 12 universiti dari 3 negara iaitu tuan rumah Indonesia, Malaysia dan Thailand menyertai pertandingan kali ini.
Ketua Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria, dipilih sebagai Chef De Mission Kontinjen USM di kejohanan tersebut.
Berkumpul bersama kontinjen USM, Pemangku Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Nasrullah Mohamed Farouk berkata, “seluruh warga USM meletakkan harapan tinggi kepada anda semua untuk membawa pulang sebanyak mungkin kejayaan atau pingat yang dipertandingkan. Insyallah ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.”
“Justeru, setiap atlet dan peserta kontinjen USM mestilah mencuba sedaya upaya dan tidak mudah mengalah. Gunakanlah sebaik mungkin peluang ini untuk bersaing dan membuktikan bahawa atlet USM juga hebat setanding dengan atlet-atlet dari negara dan universiti yang lain,” katanya.
Katanya lagi, “saya menaruh harapan yang tinggi agar pegawai, jurulatih dan pengurus pasukan memainkan peranan yang penting dalam memastikan atlet dan peserta USM mempunyai jati diri, semangat setia kawan dan semangat berpasukan untuk memastikan kontinjen USM berjaya dan cemerlang."
Turut hadir adalah Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Zulkifli Che Hussin; pegawai-pegawai utama universiti, pegawai-pegawai dan jurulatih-jurulatih serta para atlet.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 443