USM MENGHAKUPAYA PELAJAR UNTUK KESEJAHTERAAN KAMPUS
PULAU PINANG, 12 Mei 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sekretariat Kampus Sejahtera terus memperkasa keupayaan pelajar dalam memacu kelestarian kampus melalui karnival dan pameran kelestarian "GreenDay Festival 2015" yang berlangsung selama dua hari bermula dari 11 Mei dari 9 pagi hingga 5 petang bertempat di Foyer Dewan Kuliah U, USM.
Pengarah projek "GreenDay Festival 2015" Mohamad Iberahim Mohd Kifri berkata, karnival ini secara tidak langsung mampu menerangkan pelbagai aspek kelestarian kepada warga kampus selaras dengan matlamat USM sebagai kampus sejahtera.
"Makna kelestarian sebenarnya amat luas yang melibatkan aspek ekonomi, politik, sosial, alam sekitar dan sebagainya yang diharapkan melalui program seperti ini dapat membantu menyampaikan maklumat kepada warga kampus dan masyarakat sekeliling tentang kelestarian," kata Mohamad Iberahim.
Tambah pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM itu lagi, sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran ramai pelajar dalam program siri syarahan dan pameran ini membuktikan kelestarian sebenarnya dipandang serius oleh warga kampus secara keseluruhannya.
Iberahim juga berharap agar aktiviti-aktiviti yang dibuat dapat memperkenalkan Kampus Sejahtera kepada warga kampus yang menekankan kepada usaha memelihara kelestarian untuk masa hadapan.
Wakil MySihat, Madzlan Musau pula mengharapkan program-program kelestarian seperti promosi kesihatan sebegini dapat diteruskan bukan sahaja di kampus induk, tetapi di kampus-kampus USM yang lain pada masa akan datang supaya makkumat yang bermanfaat dapat dikongsi bersama dengan warga USM.
Manakala Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Masyarakat PPSPPA, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Halim Hashim berkata, pihaknya menyokong usaha Sekretariat Kampus Sejahtera yang disifatkan sebagai pesanan khidmat masyarakat dalam bersama-sama memacu usaha kelestarian ini melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).
"Dalam usaha mencapai negara maju tahun 2020, pihak kami berharap agar dapat bersama-sama warga USM meningkatkan kesedaran masyarakat menjaga alam sekitar, khususnya dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam," tambahnya lagi.
Karnival dan pameran kelestarian ini dianjurkan oleh Sekretariat Kampus Sejahtera dengan kerjasama Bank Muamalat Cawangan USM, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Proton, dan MySihat.
Antara aktiviti yang dijalankan selama tiga hari itu ialah program Siri Syarahan Kelestarian, senamrobik, pameran kelestarian, Explorace, pertandingan reka cipta, pameran kereta Proton, speaker corner, dan lain-lain lagi. - Teks: Siti Naquiah Abdillah & Syuhada Abd Aziz/ Foto: Ihsan dari Sekretariat Kampus Sejahtera
- Created on .
- Hits: 1528