IPPT USM, GANO EXCEL INDUSTRIES METERAI MoA PERKUKUH KOLABORASI PENGGUNAAN GANODERMA LUCIDUM UNTUK MERAWAT DAN MENCEGAH KANSER PAYUDARA
USM PULAU PINANG, 10 Julai 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) meningkatkan lagi kolaborasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha untuk terus memperkasakan agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab, yang mewakili Naib Canselor USM, melalui perkongsian pintar dengan kepakaran yang ada di universiti dan industri, universiti mampu mencapai kecemerlangan bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga penyelidikan dalam mencari penawar untuk merawat dan mencegah kanser payudara.
Beliau berkata demikian dalam majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM dengan Gano Excel Industries Sdn. Bhd. yang berlangsung di kampus induk USM hari ini.
Gano Excel Industries Sdn. Bhd. memperuntukkan geran penyelidikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM325,000 untuk kajian percubaan klinikal mengenai "Keberkesanan Ganoderma Lucidum (Gano Plus) terhadap pesakit kanser payudara Tahap II dan Tahap III."
Kajian percubaan klinikal ini akan menggunakan produk Ganoderma Lucidum syarikat yang akan dilakukan ke atas pesakit kanser payudara di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia Bertam (PPUSMB).
Menurutnya lagi, “saya amat berbesar hati dan menyokong sepenuhnya kolaborasi sebegini di antara penyelidik USM dan pihak Gano Excel Industries Sdn. Bhd., kerana ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan kerjasama universiti dan industri melalui penggunaan kepakaran saintifik untuk memanfaatkan kedua-dua pihak serta negara secara keseluruhannya.
“Saya berharap hasil daripada kajian percubaan klinikal ini akan dapat meningkatkan keberkesanan rawatan serta pencegahan penyakit kanser payudara dalam kalangan wanita dan juga pesakit,” kata Habibah.
Hadir sama ialah Pengarah IPPT dan PPUSMB, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin yang menandatangani dokumen perjanjian sebagai saksi bagi pihak USM.
Tunku Kamarul berharap dan yakin dengan kepakaran dan teknologi yang ada, para penyelidik dari IPPT USM akan menemukan hasil penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi yang akan memberi manfaat penuh kepada pesakit kanser dan juga masyarakat dalam merawat dan mencegah penyakit kanser payudara melalui kaedah perubatan menggunakan Ganoderma Lucidum.
Beliau juga berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan untuk meneroka dan menemukan lebih banyak kaedah dalam merawat dan mencegah penyakit kanser.
Gano Excel Industries Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Leow Soon Seng; Pengarah Eksekutif; Leong Ting Yu serta Dr. Chong Kwai Hoe, Dr. Alok Nahata dan Lew Swee Lee.
Mengulas mengenai keberkesanan Ganoderma Lucidum, Leow memberi keyakinan bahawa herba ini sangat dikagumi sejak zaman purba dan nenek moyang dahulu lagi, dan ianya kini semakin dikenali di persada antarabangsa dengan kebaikan yang dimilikinya.
“Saya berharap dengan adanya kajian percubaan klinikal yang bakal dijalankan di PPUSMB, ianya akan dapat memberi lebih keyakinan kepada pengguna di luar sana dan sekaligus dapat membantu memberikan kesihatan yang optimum kepada semua,” kata Leow.
Yang hadir sama menyaksikan penandatanganan MoA tersebut ialah Dr. Siti Mardhiana Mohamad selaku Ketua Penyelidik; Prof. Madya Dr. Gokula Kumar A/L Appalanaido; Dr. Rohayu Hami; Dr. Salbiah Isa; Dr. Mohd Yusmaidie Aziz; Dr. Eshaifol Azam Omar; dan Dr. Hasmah Hussin yang terlibat secara langsung dalam kolaborasi ini.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Hasni Arsad; Prof. Madya Dr. Noor Khairiah A. Karim; dan Prof. Madya Dr. Badrul Hisham Yahaya.
Teks: Naziroh Shafii/ Foto: Faizal Ashraf, Norizan Ishak & Joshua Edwin Santhanasamy
- Created on .
- Hits: 502