USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPDR USM ANJUR PROGRAM CAKNA ISU PENDIDIKAN UNTUK ORANG ASLI

358551105 678108694355883 1287572030176531939 n

USM PULAU PINANG, 9 Julai 2023 – Pendidikan merupakan asas dalam membentuk seseorang individu bagi membuka minda mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam sesuatu perkara.

Oleh itu, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Budaya USM bagi Sidang Akademik 2022/23 hari ini telah menganjurkan program penutup Train to Humanity (TTH) 5.0, Speak Out: Educating a Healthy Community yang menekankan isu pendidikan seperti fasiliti sekolah, pendidikan seks dan kemudahan pendidikan yang berfokus kepada masyarakat Orang Asli.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program pada tahun 2021, iaitu TTH 4.0: “Cerulean: Reflection of Your Soul”, yang mana program seperti ini dapat membuka mata masyarakat seantero dunia dan Malaysia tentang isu pendidikan.

Selain itu, pihak pelaksana turut membantu sekolah-sekolah yang daif melalui hasil kutipan program dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang selari dengan objektif program, khususnya penekanan terhadap pendidikan.

Berlangsung di Dewan Budaya USM, hadir bagi merasmikan majlis penutup program adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A. Wahab, mewakili Naib Canselor USM.

358148486 678108874355865 8469860707727032464 n

Habibah dalam ucapannya berkata, program yang dilaksanakan ini mampu dijadikan sebagai platform kepada semua hadirin untuk berkongsi idea mengenai isu-isu pendidikan yang dikupas.

“Saya berharap agar apa yang telah didedahkan kepada semua hari ini dijadikan sebagai panduan untuk kegunaan pada masa akan datang dan berharap agar pihak penganjur dapat meneruskan lagi pelaksanaan program ini agar dapat terus berbakti kepada masyarakat,” kata Habibah.

Sementara itu, Pengarah Projek TTH 5.0, Zahidi Rusli dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar sepanjang program ini berlangsung dapat memperluaskan jaringan sosial bersama komuniti sasaran melalui komunikasi dua hala selaras dengan elemen ‘Articulate’ iaitu atribut komunikasi dalam agenda HEBAT.

“Bukan itu sahaja, sebagai seorang mahasiswa universiti berstatus APEX, kita juga dapat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti sasaran tentang pendidikan selaras dengan elemen ‘Holistic’ iaitu atribut pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Tambah Zahidi lagi, selain daripada menerapkan agenda HEBAT Universiti, program ini turut merealisasikan agenda global iaitu matlamat pembangunan mampan (SDG) Pendidikan Berkualiti (SDG 4).

358657358 678108751022544 5069932164663138717 n

Acara kemuncak program ialah sesi forum TTH 5.0, yang mengupas isu berkaitan Pendidikan Seks dengan menampilkan panel-panel jemputan seperti Pensyarah Kanan, Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Abdul Hamid Abu Sullayman, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Islam dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Syarifah Fatimah Alzahrah Syed Hussein Al-Attas; Ketua Penolong Pengarah dan Ketua Unit Pendidikan Kesihatan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Huey Ning; dan Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Daerah, Seberang Perai Utara, Dr. Nosilah Sudin; yang dimoderatorkan oleh Abdullah Nudin.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan daripada ‘Youtuber’ dan ‘influencer’ Instagram popular, Dalia Farhana yang terkenal dengan lagu Langit Yang Sama.

Hadir sama adalah Penggawa Desasiswa Restu USM, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Pengurus AIDS Action & Research Group (AARG), Wan Azuan Wan Ali dan pegawai-pegawai utama USM.

WhatsApp Image 2023 07 10 at 08.53.30

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 648

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024