USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CATAT KEJAYAAN BERGANDA DI DEBAT TERBUKA ASTAR PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-25

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2023 – Strategi mempertaruhkan kombinasi para pendebat daripada Kampus Induk dan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuahkan hasil apabila pasukan Debat Bahasa Melayu USM berjaya muncul sebagai pemenang Tempat Ketiga (Kategori Utama) dan Juara Liga bagi Pertandingan Debat Terbuka ASTAR Kali ke-25 bagi tahun 2023.

WhatsApp Image 2023 07 09 at 19.10.18 1

Pasukan USM yang dibarisi oleh Abdullah Nudin, pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan; Muhammad Hafizi Hanafi, pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan; Muhammad Nur Azlan Yusof, pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan; dan Izzah Imanina Muhammad Marzuqi@ Jantan, pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Sains Pergigian telah berjaya memenangi kesemua lima pusingan awal untuk menerajui kedudukan teratas liga pertandingan.

Pusingan liga pertandingan kali ini telah disertai oleh 36 pasukan daripada institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara dan berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom pada 17 hingga 18 Jun 2023, manakala peringkat separuh akhir dan akhir diadakan secara bersemuka di Dewan Tun Perak, ASTAR Universiti Malaya (UM) pada 24 Jun 2023 yang lalu.

Dengan usul separuh akhir, ‘Selaku Kabinet Jepun, Dewan ini akan Mengutamakan Penstrukturan Semula Dasar dan Polisi Domestik Demi Kemapanan Ekonomi’, perlawanan sengit tersebut telah menyaksikan USM bertindak selaku kerajaan manakala UM selaku pembangkang.

Walaupun perlawanan tersebut tidak memihak kepada USM, USM masih diangkat sebagai pemenang tempat Ketiga bersama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Yang Dipertua Kelab Debat dan Pengucapan Awam USM selaku pengiring pasukan, Jana Bahram berkata, “sesungguhnya kejayaan kali ini merupakan dedikasi bagi menginspirasikan semua penggiat debat di universiti untuk turut serta dalam menjayakan atribut HEBAT USM iaitu, Artikulasi (Articulate) dan Berfikir (Thinking) melalui cabang ilmu pengucapan awam dan perdebatan.”

Tambahnya lagi, “kejayaan ini tidak akan dicapai tanpa sokongan, dorongan serta bantuan daripada kesemua pihak terutamanya pihak universiti, para pendebat universiti yang lain serta ketua jurulatih debat universiti, Jerry Yacob.”

Kempen debat ASTAR kali ini juga disertai oleh dua lagi pasukan muda USM yang dibarisi oleh lapan orang pendebat tahun 1 hingga tahun 3 daripada pelbagai pusat pengajian.

Pasukan USM Muda A berjaya mara ke peringkat suku akhir kategori muda manakala USM Muda B berjaya menamatkan kesemua pusingan dalam saingan liga.

“Jelas, pertandingan kali ini berjaya memberikan pendedahan terbaik buat kesemua pendebat USM untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang,” kata Jana.

WhatsApp Image 2023 07 09 at 19.10.18

Teks: Abdullah Nudin/ Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 455

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024