PASUKAN USM WAKIL TUNGGAL MALAYSIA DI PERTANDINGAN DRON DUNIA
NIBONG TEBAL, 6 Julai 2023 – Sepasukan tujuh orang pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Sains Malaysia (USM) bakal menjadi wakil tunggal Malaysia yang akan berentap di Pertandingan Dron Dunia (World Drone Competition) di Yokohama, Jepun, bermula dari 10 hingga 13 Julai ini.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Dr. Farzad Ismail, pertandingan ini bakal menyaksikan penyelidikan dan pembangunan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri, tetapi juga untuk respons bencana serta bermanfaat bagi menyelamatkan nyawa.
"Dengan berat kira-kira lima kilogram, SkyScanner, iaitu dron yang digunakan dalam pertandingan ini kelak perlu pergi ke kawasan bencana dengan membawa bekalan bantuan seperti ubat-ubatan atau makanan seberat 300 gram.
“Dron yang digunakan perlu terbang secara autonomi tanpa pemandu sejauh 16 kilometer sehala, sebelum menurunkan muatan dan kembali semula dengan jarak yang sama iaitu sejauh 16 kilometer sambil meninjau jika berlaku sebarang bencana di tempat kejadian,” kata beliau.
Ketika diminta mengulas akan penyertaan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dalam pertandingan itu, Farzad yang ditemui selepas majlis pelepasan pasukan, menyatakan bahawa keutamaan adalah untuk mereka meneroka sambil membina jati diri sebagai satu pasukan dan kembali ke USM sebagai individu dan pelajar yang lebih kuat.
“Pertandingan ini pasti akan mengajar mereka untuk tidak berputus asa dan dengan semangat yang tinggi, mereka perlu berusaha menyesuaikan diri untuk berdepan dengan cabaran yang tiba, melangkaui apa yang telah didedahkan oleh pembelajaran ketika di universiti,” tambahnya.
Nur Aisyah Muhamad Shariff, 22, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Aeroangkasa pula tidak menafikan debaran beliau selaku Ketua Pasukan SkyScanner yang menjadi wakil tunggal negara di pertandingan tersebut yang akan turut disertai oleh 12 pasukan dari seluruh dunia.
“Namun, sokongan serta reaksi positif yang ditunjukkan oleh penganjur kepada SkyScanner terutamanya mengenai sistem dron yang mengambil masa lebih kurang tiga bulan setengah untuk dibangunkan ini telah memberikan harapan untuk kami membawa nama Malaysia di mata dunia dan seterusnya memenangi tempat pertama atau kedua dalam pertandingan itu nanti," katanya.
“Selain itu, penyertaan SkyScanner akan menjadi contoh terbaik dalam menarik minat generasi muda terhadap bidang ini di samping menunjukkan kemampuan dan kemajuan yang telah dicapai oleh industri UAV Malaysia yang selama ini kurang diberi perhatian,” tambah Aisyah.
Menurut Aisyah, sistem dron autonomi yang dibangunkan oleh SkyScanner membolehkannya untuk terbang dengan kelajuan sehingga 90 kilometer dan boleh bertahan selama satu jam, yang mana beberapa pengubahsuaian dan penyepaduan sistem seperti kawalan penerbangan, kamera, petak muatan, dan antena jarak jauh telah dilakukan.
“Namun, dalam memastikan sistem ini dapat berfungsi dengan sempurna, liputan 4G yang baik diperlukan sepanjang penerbangan,” tambah beliau.
Bagi Penasihat utama pasukan, Ir. Dr. Ahmad Faizul Hawary ketika bercakap tentang cabaran serta halangan dalam membawa pasukan SkyScanner ke pertandingan dunia itu, menyatakan bahawa ianya adalah satu tugas yang perlu digalas dengan penuh dedikasi dan positif.
“Selain daripada halangan teknikal dalam memastikan dron yang akan digunakan berfungsi sesuai dengan syarat serta kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur, kita juga berharap untuk mengumpul dana berjumlah RM94,500 untuk merealisasikan impian pasukan SkyScanner di pertandingan ini nanti,” kata Faizul.
“Sehingga kini, RM10,540 telah berjaya dikumpulkan.
“Oleh yang demikian, kita ingin mempelawa serta mengalu-alukan pelbagai pihak korporat serta swasta di luar sana untuk sama-sama hadir sebagai sebahagian dari tanda sokongan kepada usaha pelajar-pelajar ini yang kelak bukan sahaja akan menerbangkan nama USM di bumi Jepun nanti, malah nama Malaysia juga,” tambah beliau.
Kejohanan Dron Dunia yang ditaja bersama Persekutuan Antarabangsa Kawalan Automatik (IFAC) telah memberikan sumbangan besar kepada kemajuan aktiviti saintifik dan teknologi dalam bidang kawalan automatik.
Setiap tiga tahun, IFAC akan menganjurkan Kongres Dunia IFAC yang merupakan acara terbesar dalam bidang sains dan teknologi kawalan di seluruh dunia.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Sallehuddin Bin Abdul Hamid
- Created on .
- Hits: 450