USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAI 93 PENERIMA ANUGERAH SIJIL PENGHARGAAN KECEMERLANGAN LIBATSAMA UNIVERSITI KOMUNITI

WhatsApp Image 2023 07 03 at 6.45.41 PM

USM PULAU PINANG, 3 Julai 2023 – Seramai 93 orang staf pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) Universiti Sains Malaysia (USM) yang menerima Anugerah Sijil Penghargaan Kecemerlangan Libatsama Universiti Komuniti diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, hari ini.

Anugerah Sijil Penghargaan Kecemerlangan Libatsama Universiti Komuniti ini diwujudkan melalui kejayaan hasil pelaksanaan program atau projek libatsama universiti komuniti bermula tahun 2019 sehingga tahun 2022 untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga dan bukan warga USM yang aktif dan tidak pernah kenal erti penat lelah dalam memberi khidmat sukarela yang berwibawa serta berkualiti di luar daripada beban tugas demi menghasilkan suatu kebaikan yang boleh meningkatkan atau mengubahkan persekitaran komuniti.

WhatsApp Image 2023 07 03 at 6.45.40 PM

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, majlis yang diadakan pada hari ini adalah sebagai tanda penghormatan dan penghargaan universiti kepada kesemua Pemenang Anugerah Sijil Penghargaan Kecemerlangan Libatsama Universiti Komuniti.

“Sijil Penghargaan Kecemerlangan ini diberikan khusus kepada Penyelidik Utama (PI) program atau projek yang telah mendapat penarafan bintang sebanyak tiga (3) ke lima (5) bintang.

“Program atau projek yang berpotensi juga akan dikenal pasti untuk diangkat sebagai projek ‘blockbuster’ bagi menerima dana pemadanan atau pembiayaan baharu, replikasi projek ke capaian lokaliti baharu atau ke skala yang lebih besar,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Menurut Abdul Rahman, pencapaian Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dalam Projek Libatsama Universiti Komuniti bermula tahun 2018 sehingga 2022 juga menunjukkan pencapaian terbaik melalui pelaksanaan projek yang berpusatkan rakyat (people centric) yang berimpak tinggi, memberi manfaat kepada komuniti dan juga pemegang taruh secara berterusan dan mempunyai hasil yang boleh diukur.

“Pada tahun 2022, USM telah menerima sebanyak RM18,518,404.90 dana luar bagi program atau projek Libatsama Universiti Komuniti daripada pelbagai sumber dan seramai lebih 388 lokaliti serta lebih 9,168 penerima manfaat berjaya dibantu.

“Capaian jaringan masyarakat secara keseluruhannya bermula tahun 2018 sehingga tahun 2022 berjaya melaksanakan 178 projek berpusatkan rakyat (people centric) berimpak tinggi dengan jumlah nilai geran sebanyak RM43.5 juta. Kesemua projek tersebut berjaya membantu 15,336 penerima manfaat daripada 958 komuniti dengan penglibatan 716 jumlah penyelidik, staf dan pelajar USM,” ujarnya lagi.

Tambah Abdul Rahman, USM perlu meneruskan agenda Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2008.

“Fokus utama adalah membantu komuniti melalui usaha penyelidikan dan inovasi serta akan melihat inisiatif-inisiatif yang membantu pembangunan negara dan perubahan sosioekonomi komuniti.

“Usaha ini lebih berfokus pada inovasi sosial dan penyelidikan yang berteraskan kepada keperluan komuniti,” ulasnya lanjut.

Abdul Rahman turut menzahirkan rasa berbesar hati dan berharap agar majlis anugerah seperti itu terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi memberikan penghormatan dan penghargaan kepada lebih ramai lagi penyelidik universiti.

WhatsApp Image 2023 07 03 at 6.45.40 PM 1

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Jaringan Industri, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Profesor Madya Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin; Pengarah Jaringan Masyarakat, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin; Ketua Sektor Jaringan Industri dan Masyarakat, Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi, Muhamad Nur Hazim Mazlan; Ketua Pegawai Eksekutif, He & She Sdn Bhd, Zulkiflee Yusof serta Timbalan-Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti USM.

Teks: Nour Aida Azreena Ahmad Zulman/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 478

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024