WCMB PENTAS TERBAIK BINCANG ISU BERKAITAN BIODIVERSITI MARIN
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 2 Julai 2023 – Bagi membincangkan dan menangani isu kritikal mengenai pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan mampan ekosistem marin yang berharga, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) telah menganjurkan '6th World Conference on Marine Biodiversity 2023' (WCMB 2023) di Hotel Jen Georgetown bermula hari ini sehingga 5 Julai.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman ketika berucap merasmikan persidangan tersebut berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang dikurniakan sumber asli yang sangat besar dan pelbagai jenis spesies marin, mengiktiraf kepentingan kritikal untuk melindungi dan memelihara kehidupan laut kita.
"Biodiversiti marin di Malaysia banyak menyediakan perkhidmatan berasaskan biologi, menyokong kehidupan dan tradisi komuniti pesisir pantai serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan dan lain-lain sektor berkaitan marin,” ujarnya.
Menurut Azlinda, Malaysia telah mencapai pencapaian yang besar dalam pemuliharaan biodiversiti unik negara sebagai sebahagian komitmen yang tidak goyah terhadap pembangunan mampan dan berhasrat untuk meningkatkan perlindungan marin merangkumi sekurang-kurangnya 10 peratus (%) daripada kawasan marin dan perairan pantai menjelang 2030.
"Untuk itu, kita telah meningkatkan usaha penyelidikan dan pemantauan untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih baik tentang ekosistem dan biodiversiti marin kerana pengetahuan sedemikian dapat menyokong kepada pemuliharaan dan amalan pengurusan berasaskan bukti,” katanya.
Beliau berharap agar universiti awam di Malaysia dapat menggembleng tenaga menangani isu kritikal biodiversiti marin supaya lebih banyak usaha dapat dilakukan dan memberi impak yang lebih besar bagi menyelesaikan kebimbangan mendesak yang dihadapi oleh ekosistem marin.
Azlinda turut merakamkan penghargaan kepada USM atas usaha gigih menganjurkan WCMB kali ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, USM merupakan perintis dalam kajian penyelidikan marin di Malaysia.
"Perjalanan kami bermula dengan penubuhan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) seawal tahun 1978.
"Melalui penyelidikan antara disiplin, CEMACS telah berjaya menjalin kerjasama dengan pelbagai organisasi antarabangsa dan pusat penyelidikan marin bagi merungkai misteri biodiversiti marin serta membangunkan penyelesaian yang praktikal untuk pengurusan dan pemuliharaan yang mampan,” jelasnya.
Menurutnya, beliau berasa bangga apabila mengetahui CEMACS bukan sahaja memainkan peranan penting kepada USM, tetapi juga menyumbang dalam perjalanan negara ke arah mencapai 'United Nations Sustainable Development Goals' (SDG).
Abdul Rahman turut berkongsi pencapaian terkini USM yang dinobatkan sebagai institusi di tempat keempat keseluruhan di dunia dalam senarai terkini The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023.
"Ia mencerminkan komitmen USM yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan mampan termasuk penyelidikan marin dan CEMACS yang telah memberikan sumbangan besar ke arah SDG 14 iaitu Hidupan Bawah Air ('Life Below Water').
"Inisiatif CEMACS dalam pemuliharaan dan penggunaan sumber marin, menggalakkan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab dan melindungi biodiversiti marin adalah selari dengan nilai teras persidangan ini,” tambahnya lagi.
Antara yang turut hadir ialah Pengarah CEMACS, USM merangkap Pengerusi ‘6th WCMB’, Profesor Dato' Dr. Aileen Tan; Presiden 'International Association for Biological Oceanography' (IABO), Dr. Enrique Montes; Konsul Jeneral, 'Consulate General of the People Republic of China in Penang', Zhou Youbin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; serta Penasihat ‘6th WCMB’ dan Profesor Kehormat CEMACS yang juga salah seorang pengucaptama persidangan, Profesor Dato’ Dr. Zulfigar Yasin.
Teks: Siti Sri Mas Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 639