USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALUMNI USM WANITA PERTAMA DILANTIK SEBAGAI CEO MPTN

WhatsApp Image 2023 07 31 at 22.08.10

USM PULAU PINANG, 1 Julai 2023 – Alumni Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) 1996, Nini Yusof, merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023.

Hal ini diumumkan oleh kumpulan Media Prima Bhd. dalam satu kenyataan yang mana Nini akan menggantikan Datuk Khairul Anwar Salleh bagi memberi tumpuan yang lebih terhadap minat beliau dalam bidang seni lukis dan penulisan kreatif.

Nini memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Literasi (ELLS) serta mempunyai minor dalam bidang pengajian Komunikasi Massa dan Pengurusan itu telah berkhidmat di Media Prima selama 11 tahun, yang mana beliau memegang beberapa jawatan kepimpinan utama sejak menyertai kumpulan itu pada tahun 2012.

Kini, sebagai CEO MPTN beliau akan mengetuai operasi TV3, TV9, 8TV, ntv7, Tonton dan Primeworks Studios.

Sebelum ini Nini merupakan Timbalan CEO MPTN dan Primeworks Studios, dan jawatan utama terdahulunya termasuklah Pengarah Jualan dan Strategi MPTN serta Ketua Pegawai Kandungan Media Prima Omnia dan Primeworks Studios.

Selain itu, Nini juga mengurus operasi penyiaran dan kandungan kumpulan di dalam negara, yang mana beliau mengetuai beberapa kerjasama kandungan yang mendapat rating tinggi dengan penyiar antarabangsa dan rakan kongsi seperti SBS untuk Masters In The House Malaysia, E! Entertainment untuk E! News, dan Cooking For You yang akan dilancarkan tidak lama lagi, sebuah program kulinari hasil inisiatif kerjasama lima negara di bawah Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU).

Beliau juga telah melancarkan usaha sama antara Media Prima dan CJENM bagi perniagaan Home Shopping dan e-dagang, CJ Wow Shop (Wowshop) pada tahun 2016.

Usaha sama ini merupakan inisiatif transformasi perniagaan penting dengan tujuan untuk meluaskan sumber aliran pendapatan kumpulan.

Nini memulakan kerjayanya bersama KPMG Malaysia pada tahun 1996 dan kemudiannya berkhidmat dengan NBC Universal, Fox Networks Group dan STAR TV yang berpangkalan di Singapura, yang mana beliau bertanggungjawab terhadap jualan serta pemasaran rakan kongsi, pengedaran di 9 pasaran untuk lebih daripada 20 saluran termasuk saluran National Geographic Channels, FOX, dan STAR yang ikonik.

Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan pembangunan filem Fox International Productions untuk pasaran Indonesia.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, kumpulan itu amat gembira mengumumkan pelantikan Nini sebagai CEO baharu MPTN dan Primeworks Studios kerana pengalaman luas dalam segmen media tempatan dan serantau yang beliau miliki adalah sangat berharga kepada kumpulan untuk terus menyediakan kandungan berkualiti tinggi buat audiens dan penyelesaian inovatif kepada pengiklan.

"Rekod prestasinya yang terbukti dengan Media Prima akan memastikan peralihan operasi serta integrasi yang lancar dalam peranan baharu ini ketika kami terus bergerak maju di dalam lanskap media yang berkembang pesat,” kata Rafiq.

Seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Nini Yusof di atas pelantikan ini.

# SDG 5: Kesaksamaan Gender

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi 

  • Created on .
  • Hits: 742

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024