HOSPITAL USM BANTU PESAKIT GLAUKOMA
PASIR PUTEH, 9 Mei 2015 - Biro Kesedaran Masyarakat, Persatuan Biro Pendidikan Kesihatan, Unit Kejururawatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan kerjasama Jabatan Oftalmologi (HUSM) telah mengadakan pemeriksaan mata percuma dan pameran kesihatan kepada masyarakat di Kampung Bukit Bidang, Selising Pasir Puteh Kelantan sebagai satu usaha mengupayakan golongan terkebawah.
Menurut Pakar Oftalmologi HUSM, Dr. Shahidatul Adha Mohamad, seramai 15 orang staf dan 27 orang pelajar perubatan turun padang menabur bakti memberi pemeriksaan mata percuma kepada penduduk kampung dan kawasan berhampiran.
"Glaukoma ialah penyakit mata yang disebabkan gangguan pada medan penglihatan akibat kerosakan pada saraf mata dengan tanda-tanda seperti penglihatan menjadi kabur, kemerahan pada mata, mata menjadi sakit dan pesakit juga menjadi mual dan muntah, yang menyebabkan pesakit perlu segera berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan," ujar beliau.
"Kaunter pemeriksaan mata percuma dan pameran kesihatan dari HUSM mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengunjung program terutamanya dari golongan warga emas," tambah Shahidatul Adha.
Dianggarkan seramai 3,000 orang pengunjung dari penduduk kampung dan kawasan berhampiran datang memeriahkan program yang bermula seawal jam 7.30 pagi yang dimulakan dengan senamrobik dan diikuti pelancaran program pembajaan Kenaf Kedua oleh Adun Selising merangkap Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, YB Zulkifle Ali. Teks/Foto : Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 1284