USM SAMBUT AIDILADHA PENUH KESYUKURAN, LEMBU SADO ANTARA MENJADI PERHATIAN IBADAH QURBAN
USM PULAU PINANG, 29 Jun 2023 – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dirai dalam suasana sederhana tetapi penuh dengan keimanan dan ketaqwaan dalam keadaan aman dan damai.
Bermula dengan Solat Sunat Aidiladha dengan kehadiran lebih 1,000 jemaah warga USM, qariah, orang awam dan pelajar antarabangsa USM telah menambahkan lagi suasana kemeriahan dalam semangat kekeluargaan sambutan perayaan bagi tahun ini.
Khutbah Aidiladha disampaikan oleh Pegawai Agama, Ustaz Nukman Ahmad Zakir bertajuk “Hayati dan Syukuri”.
Dalam pada itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed memohon agar semua warga USM sentiasa bersyukur dengan perayaan tahun ini dan terus memelihara kesejahteraan.
“Kepada seluruh warga USM, bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan dan terus menghayati erti pengorbanan walau dalam apa jua cabaran yang dihadapi,” katanya yang turut mengucapkan Salam Aidiladha buat semua warga USM dan seluruh masyarakat Islam yang meraikan.
Bagi ibadah qurban tahun ini, keunikan ditampilkan dengan penyembelihan seekor lembu sado jenis baka Charolis seberat 750 kg diikuti sebanyak 20 ekor lembu dan 20 ekor kambing.
Hari Raya Aidiladha disambut umat Islam seluruh dunia bagi memperingati peristiwa kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. sebagai simbolik ketaatannya kepada Allah SWT. Namun Allah SWT telah menggantikan bahan sembelihannya dengan kambing biri-biri (kibas) dan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih kibas berkenaan dan juga petanda berakhirnya musim Haji ke Mekah.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 658