PROGRAM KAVIPAADUM THENDRAL PERKASA PENGUASAAN BAHASA TAMIL DALAM KALANGAN PELAJAR
USM, PULAU PINANG, 26 Jun 2023 – Persatuan Kebudayaan India, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Karnival Bahasa Tamil bagi melahirkan semangat untuk memahami dan mempelajari Bahasa Tamil pada 24 Jun lalu.
Karnival Bahasa Tamil atau lebih dikenali sebagai Kavipaadum Thendral edisi ke-11 itu diadakan bertujuan untuk menonjol dan mempertingkatkan pengetahuan para pelajar dalam penguasaan bahasa dan sastera Tamil terutama dari segi kesantunan bahasa yang dapat menambah keunikan Bahasa Tamil dari pelbagai aspek khususnya dalam kalangan masyarakat yang menggunakan Bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, beliau berasa bangga apabila melihat mereka yang berbakat dari pelbagai sekolah rendah, menengah dan institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara bersama-sama mengambil bahagian dalam karnival tersebut.
“Peserta digalakkan untuk mempromosikan bahasa serta sastera Tamil sebagai usaha memahami budaya dan perspektif serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan seterusnya menggalakkan perkembangan kreativiti peserta dalam program ini," jelasnya.
Abdul Rahman berkata, USM sentiasa berusaha memperjuangkan isu berkaitan kelestarian atau ‘sustainability’ yang menjadikan USM kekal dipilih sebagai universiti nombor satu (1) di Malaysia, nombor satu (1) di Asia dan nombor empat (4) di dunia berasaskan kelestarian (sustainability-led university) dalam senarai 'Times Higher Education Impact Rankings' (THE-IR) 2023.
"Acara ini dapat menyokong USM mencapai matlamat keempat dalam 'Sustainable Development Goals' (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti sebagai salah satu usaha untuk memfokuskan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua peserta.
“Saya amat berbesar hati menyokong matlamat murni program ini dan segala usaha yang telah dijalankan oleh ahli jawatankuasa penganjur.
"Usaha sebegini dapat dijadikan peluang dalam memperkukuhkan lagi usaha USM sebagai sebuah universiti APEX," ujarnya lagi.
Tambah Abdul Rahman, ia juga seiring dengan matlamat APEX untuk menjadi sebuah universiti berperintis, merentas disiplin dan berorientasikan penyelidikan intensif terutamanya dalam memperkasakan bakat masa depan serta golongan terkebawah ke arah merevolusikan kesejahteraan sosio ekonomi.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberi penekanan dalam kesemua Teras APEX, terutamanya yang berkaitan ilmu pengetahuan dan berusaha berganding bahu melangkah ke arah 'Mentransformasi Pendidikan Tinggi Untuk Kelestarian Hari Esok'.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang merangkap EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Profesor Dr. Ramasamy Palanisamy; Pegawai Eksekutif 'Penang Hindu Endowment Board', Krishnasamy Kolendai; Pengarah Urusan Arun Spices, Sivanesan Arunasalam; dan Pengarah Projek Kavipaadum Thendral Edisi ke-11, Roobbasri Shanmugam.
Teks: Nur Adhethia Maisarah Zulhisam & Siti Nur Syuhaida Hishamuddin/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 631