USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SATELIT A-SEANSAT-PG1 KE ANGKASA BERJAYA DILANCAR: KERJASAMA ANGKASA X DAN USM CIPTA SEJARAH NEGARA

WhatsApp Image 2023 06 27 at 9.23.48 PM

USM, PULAU PINANG, 27 Jun 2023 – Buat julung kalinya dan mencipta sejarah negara, A-SEANSAT-PG1, satelit pertama AngkasaX ke orbit berjaya dilancarkan dan misi berkenaan adalah kesinambungan dari kerjasama erat dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sejak beberapa tahun lalu.

Satelit A-SEANSAT-PG1 adalah satelit yang direka bentuk dengan misi penderiaan jauh dan membawa kamera serta Automatic Identification System (AIS). Misi utamanya adalah untuk memantau dan menjejak kapal pelaut di luar kawasan pantai Asia Tenggara menggunakan penerima (receiver) AIS.

Kolaborasi strategik di antara firma teknologi aeroangkasa di Malaysia dengan USM itu memberi peluang untuk kedua-dua pihak menjalankan pelbagai projek penyelidikan berimpak tinggi, membangunkan teknologi canggih dan memupuk budaya kecemerlangan saintifik.

WhatsApp Image 2023 06 27 at 9.23.46 PM

Ia turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi termasuk kemajuan ekonomi negara serantau, pembangunan negara, kemajuan bakat masa depan, mempercepatkan evolusi teknologi dan mempercepatkan pembangunan ekonomi angkasa di antara negara-negara ASEAN.

Pelancaran satelit ulung berkenaan telah disiarkan secara langsung di empat lokasi berbeza termasuk di Kampus Induk, USM dan telah dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Penasihat AngkasaX Holdings Corp, Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Profesor Dr. Farzad Ismail bersama EXCO Negeri Pulau Pinang, pengurusan tertinggi USM dan wakil dari AngkasaX.

Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan aluannya berkata bahawa pelancaran berjaya satelit ini bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan Malaysia dalam teknologi angkasa, malah perkara ini telah menjadi inspirasi kepada saintis dan jurutera Malaysia untuk terus mengorak langkah melalui bidang ini.

WhatsApp Image 2023 06 27 at 9.23.45 PM 1

“Melalui kerjasama yang erat dengan Angkasa-X, kami percaya bahawa kita dapat membuka peluang yang belum pernah ada sebelum ini untuk penyelidikan saintifik, inovasi teknologi dan pembangunan sosial.

“Kita turut boleh berkongsi sumber, kemahiran dan pengetahuan dalam memperkukuhkan lagi kerjasama dalam pembangunan teknologi angkasa dan meneroka sempadan angkasa bagi mendapatkan pemahaman lebih kolektif mengenai alam semesta,” tambahnya lagi.

Satelit ini juga akan memberikan data yang sangat diperlukan untuk kerajaan, agensi keselamatan dan sektor swasta mengenai ramalan cuaca, pengesanan pesawat, pengawasan dan keselamatan maritim.

Turut hadir ialah pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 472

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024