USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

A-SEANSAT-PG1: SATELIT PERTAMA USAHASAMA USM KE ORBIT

356245923 669856718514414 112443464026462292 n

USM, PULAU PINANG, 28 Jun 2023 – Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menjadi saksi momen bersejarah pelancaran satelit pertama AngkasaX ke orbit, A-SEANSAT-PG1.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada AngkasaX atas pencapaian membanggakan ini.

356659799 669855455181207 8448545425314645278 n

"Setelah mencapai beberapa perjanjian sejak April 2021 termasuk penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara AngkasaX, Digital Penang dan USM, diikuti dengan Memorandum Perjanjian (MoA) bersejarah antara AngkasaX dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan terbaru Majlis Pecah Tanah bagi Stesen Bumi di Kampus Kejuruteraan USM pada Mei 2022, acara ini menandakan kemuncak bersejarah bagi AngkasaX," jelasnya.

Menurut Abdul Rahman, pelancaran berjaya satelit ini bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan Malaysia dalam teknologi angkasa, malah menjadi inspirasi kepada saintis dan jurutera di Malaysia.

"Di USM, kami memahami kepentingan kerjasama dan kekuatan hasil kerjasama untuk memajukan ilmu pengetahuan.

"Melalui kerjasama yang erat dengan AngkasaX, kami percaya bahawa ia dapat membuka peluang yang belum pernah ada sebelum ini untuk penyelidikan saintifik, inovasi teknologi dan pembangunan sosial," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Menyaksikan Pelancaran A-SEANSAT-PG1 LEO Satellite melalui siaran langsung dari Rusia di sini.

Abdul Rahman turut meluahkan rasa bangga kerana melalui usaha bersama ini, USM telah membuat pencapaian yang luar biasa menembusi batas-batas pendidikan tinggi.

“USM mempunyai sejarah kerjasama yang lama dalam pelbagai bidang dengan rakan-rakan kolaborasi termasuk teknologi angkasa," tambahnya lagi.

Abdul Rahman juga yakin kerjasama USM dan AngkasaX ini membolehkan kedua-dua pihak merintis peluang dan menjalankan projek penyelidikan yang berimpak tinggi, membangunkan teknologi canggih dan memupuk budaya kecemerlangan saintifik.

“Pelancaran satelit pertama AngkasaX adalah batu loncatan menuju masa depan yang lebih cerah, yang mana sempadan angkasa akan diterokai lebih jauh dan pemahaman kolektif tentang alam semesta akan lebih mendalam," kata Abdul Rahman.

356660578 669855961847823 1300875758783145196 n

Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Penasihat AngkasaX Holdings Corp, Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock; dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Profesor Dr. Farzad Ismail bersama EXCO Negeri Pulau Pinang, pengurusan tinggi USM dan wakil dari AngkasaX.

Teks: Muhamad Iqbal Bashah/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 698

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024