USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LARIAN GLOW IN THE DARK KAMPUS KEJURUTERAAN BUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT

DSC 9093

NIBONG TEBAL, 24 Jun 2023 – Larian Glow in The Dark yang diadakan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menjadi satu medium kepada semua peserta khususnya pelajar untuk membudayakan gaya hidup sihat.

Berikut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika hadir di sesi pelepasan dan seterusnya merasmikan larian tersebut bersama-sama lebih kurang 200 peserta yang bermula di Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan.

DSC 9054

“Saya akan berusaha semaksima mungkin untuk sentiasa mendokong usaha serta program yang dijalankan oleh pelajar.

“Apatah lagi jika ianya adalah berkaitan dengan kesihatan, baik fizikal mahupun mental, kerana seperti yang kita sedia maklum, akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat,” kata beliau.

“Selain daripada itu, aktiviti serta program larian yang dianjurkan oleh pelajar pada hari ini dapat menjadi satu medium dalam memastikan semua pihak lebih cakna akan kepentingan penjagaan kesihatan,” tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Bagi Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi yang hadir mewakili Naib Canselor USM di program ini pula berpendapat bahawa sokongan yang diberikan oleh YB Fadhlina Sidek memainkan peranan besar kepada penganjuran program pelajar.

“Apatah lagi melalui tanggungjawab yang digalas oleh setiap seorang daripada mereka sepanjang pengelolaan program akan menjadi satu peluang kepada pelajar untuk menyerlahkan kewibaan masing-masing sebagai penganjur,” kata Shahrel.

“Malah, keputusan penganjur untuk mengadakan program ini pada waktu di luar waktu serta hari bekerja adalah sangat baik untuk memastikan keterlibatan maksimum pelbagai pihak dan menjadi satu ruang kepada mereka untuk melepaskan tekanan setelah sibuk dengan pekerjaan mahupun pelajaran masing-masing sebelum ini,” tambah beliau.

DSC 9138

Menurut Pengarah Projek, Khairunnisa Izzati Kamaruddin, pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, program larian sejauh enam kilometer ini merupakan anjuran bersama antara Ahli Sekretariat Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kejuruteraan USM, dan turut melibatkan komuniti sekitar Nibong Tebal.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 356

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024