USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ADIKARMA USM RANGKUL NAIB JOHAN DI FEKAZ 2023

WhatsApp Image 2023 06 26 at 12.58.00 AM

USM PULAU PINANG, 25 Jun 2023 – Pasukan kesenian ADIKARMA Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul Naib Johan di Festival Kesenian Zapin (FEKAZ) 2023 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang wang bernilai RM1,300.00, piala dan sijil penghargaan.

Manakala Johan festival pula disandang oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut mencipta hatrik kemenangan dengan merangkul dua lagi anugerah iaitu kategori Busana Terbaik dan Koreografi Terbaik mengetepikan kesemua 7 pasukan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang bertanding.

356244961 668777551955664 1955305153343723125 n

Ketika ditemui selepas tamatnya FEKAZ 2023, Ketua Jurulatih merangkap Penasihat Kumpulan Kesenian ADIKARMA USM, Ahmad Assahirin Hamlet berkata, kejayaan ini cukup bermakna buat beliau dan pasukan kerana tempoh persediaan yang dilakukan oleh para pelajar amatlah singkat, hanya dua minggu sebelum hari pertandingan atas sebab komitmen mereka dalam akademik dan kelas pengajian.

355701983 668777501955669 4803524696273682109 n

"Syukur yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T. atas izin-Nya, hasil kesungguhan dan komited latihan pasukan ADIKARMA di saat-saat akhir terbayar dengan kemenangan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan," kata beliau.

Tambah Ahmad Assahirin yang juga Penolong Pegawai Kebudayaan di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, beliau amat berterima kasih kepada pasukan ADIKARMA USM yang sanggup meluangkan masa berlatih bersungguh-sungguh walaupun sibuk dengan tugasan akademik dan menghadiri kelas hingga berjaya merangkul tempat kedua di kejohanan ini.

"Kejayaan ini sewajarnya diberikan sepenuhnya kepada pelajar-pelajar yang terlibat atas keringat mereka memperjuangkan ADIKARMA hingga berjaya mengharumkan nama USM keseluruhannya," jelas beliau lagi.

f33d8213 fae3 4418 bcc5 9588fd5a58da

Ahmad Assahirin turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pengurusan tertinggi USM terutamanya Naib Canselor, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan kesenian ADIKARMA USM.

Di majlis yang sama, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) turut tercatat dalam senarai pemenang apabila berjaya merangkul Anugerah Khas Juri dengan membawa pulang wang bernilai RM200 dan sijil.

Sebagai rekod, IPTA yang menyertai pertandingan kali ini adalah UPM, UMK, UTEM, UMT, UM, UTM, UPSI dan USM.

WhatsApp Image 2023 06 26 at 12.58.01 AM1

Turut hadir memeriahkan FEKAZ 2023 ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama, YB Norlizah Noh; Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Niza Abdul Rahim; Pengarah Projek FEKAZ 2023, Muhammad Aidil Haikal Osman; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM), Afirul Idris Ayub Khan; wakil-wakil agensi kerajaan negeri Johor dan pegawai-pegawai utama USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 565

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024