USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMETERAIAN MoA USM DAN DWINITI FOKUS RAPATKAN JURANG AKADEMIK-INDUSTRI

IMG 6037

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2023 – Dalam usaha merapatkan jurang antara akademik dan industri selain memupuk ekosistem kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) hari ini, menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Dwiniti Konsult Sdn. Bhd.

Pemeteraian MoA itu disempurnakan oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak yang mewakili Naib Canselor USM dan Pengerusi Program Kejururawatan, Dr. Azlina Yusof bagi pihak USM, manakala Dwiniti Konsult Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Eric Tang dan wakil United Kingdom yang juga Pengurus Sumber Manusia, Eliza Reid.

IMG 6038

Menurut Wan Rosli, Dwiniti Konsult Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang menyediakan peluang kepada jururawat Malaysia untuk memulakan kerjaya di hospital berprestij di United Kingdom.

“MoA ini melambangkan komitmen bersama antara USM dan Dwiniti Konsult Sdn. Bhd. yang bersetuju menjalin kerjasama dan meneroka peluang untuk membangun, menyokong serta memperkaya kemampuan pekerjaan kepada graduan dan Alumni Kejururawatan USM.

“Selain itu, ia juga bagi merapatkan jurang antara akademik dan industri serta membina ekosistem kolaboratif yang memberi manfaat kepada semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Tambah Wan Rosli, perjanjian ini selaras dengan salah satu nilai teras 'Accelerated Program for Excellence' (APEX) yang dianugerahkan kepada USM berdasarkan penglibatan akademik, kerjasama penyelidikan dan penyertaan pelajar.

“Menyedari bahawa kuasa transformasi pendidikan hanya boleh direalisasikan sepenuhnya apabila ia sejajar dengan keperluan dan permintaan industri, saya percaya perjanjian ini berupaya mencipta peralihan yang lancar bagi graduan ke dunia profesional serta melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan, dan minda yang kuat untuk berkembang maju dalam kerjaya,” jelasnya lagi.

IMG 6039

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa) PPSK, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; dan Penyelaras Program Sarjana Muda Kejururawatan, PPSK, Dr. Intan Idiana Hassan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 402

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024