BELIA PEWARIS DAN PENERUS GENERASI CAKNA KELESTARIAN MASA DEPAN
USM, PULAU PINANG, 24 Jun 2023 – "Terima kasih Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Persatuan Perniagaan Antarabangsa dan Pengurusan Profesional (AIBPM) kerana menyatukan sekumpulan belia, ahli akademik, cendekiawan, dan penyelidik yang menakjubkan melalui persidangan serentak untuk berkongsi pengetahuan dan idea mereka serta membincangkan isu-isu kelestarian semasa yang berkaitan dengan belia dari seluruh rantau," demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Abdul Rahman berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Dewan Kuliah A, USM sempena '3rd International Youth Conference 2023 cum Penang International Conference Of Project Management 2023, Unleashing The Power of Youth Towards Sustainable Development Goals (SDGs)’.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada rakan penganjur bersama persidangan berkenaan kerana penganjuran persidangan itu dapat meningkatkan kerjasama USM dengan industri tempatan, penyedia latihan dan rakan-rakan antarabangsa untuk memupuk bakat masa depan negara secara holistik.
"Majlis hari ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi kerjasama penyelidikan yang lebih erat antara USM dan industri.
"Usaha kolaboratif dapat mewujudkan kerjasama untuk membangun, menyokong dan memperkayakan aktiviti penyelidikan dan akademik," ujarnya.
Menurut beliau, persidangan ini akan memberi manfaat terutamanya kepada belia yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran serta mereka yang sudah menjalani pengajian tinggi.
"Ianya diharap dapat melahirkan pelajar lepasan ijazah yang lebih menjurus kepada keperluan industri," jelasnya lagi.
Tambah Abdul Rahman, persidangan tersebut selaras dengan visi pendidikan tinggi iaitu menjana kebolehpasaran graduan yang tinggi dalam bidang khas mereka sendiri.
"Ia juga akan memberi manfaat kepada industri kerana mereka dapat bekerjasama dengan institut yang melakukan kerja dalam pelbagai bidang untuk menyampaikan calon yang kuat dalam mengukuhkan tenaga kerja dan mengembangkan kemajuan mereka.
"Semoga sesi inspirasi dan perbincangan berwawasan sepanjang persidangan serentak ini dapat menggalak dan memperkasakan para peserta untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka secara kolaboratif untuk kebaikan bersama di rantau ini," kata beliau.
Turut hadir ialah Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri, Batu Uban, Pulau Pinang, Kumaresan Aramugam; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang, Dr. Gwee Sai Ling; Presiden Persatuan Perniagaan Antarabangsa dan Pengurusan Profesional, Indonesia, Dr. Liem Gai Sin; dan Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad.
Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 642