USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CAKNA KEPERLUAN MURID TERCICIR PEMBELAJARAN

bf149143 e319 4336 92b4 75186a9f2eac

BUKIT GELUGOR, PULAU PINANG, 23 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa cakna untuk membantu pihak sekolah di sekitar Pulau Pinang bagi meningkatkan kemahiran literasi asas murid-murid yang tercicir pembelajaran.

Justeru, pada pagi ini, berlangsungnya program Jelajah Bahasa Melayu 2023 (JBM 2023) anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT), USM bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Wilayah Utara.

088de155 9068 4105 bcd0 790f8bcea8c6

Program Jelajah Bahasa Melayu merupakan inisiatif untuk memastikan tidak ada murid yang tercicir pembelajaran mereka dari aspek 2M iaitu membaca dan menulis kerana menurut guru-guru, telah berlaku pertambahan murid kelas pemulihan yang lemah penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) setelah pandemik COVID-19 melanda dunia.

Guru Bahasa, PPBLT, USM, Wan Azni Wan Mohamad yang juga merupakan Pengerusi Program ini ketika ditemu bual di JBM 2023 siri kedua bertempat di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor berkata, program sebegini sudah tidak asing lagi kerana telah dimulakan sejak tahun 2019 dengan objektif yang sama iaitu untuk membantu murid kelas pemulihan yang lemah penguasaan Bahasa Melayu.

“Sekretariat JBM 2023 akan menjelajah ke seluruh negeri Pulau Pinang bagi mencari, mengenal pasti dan membantu pelajar yang lemah Bahasa Melayu di 10 buah sekolah terpilih di Pulau Pinang.

“Terima kasih saya ucapkan kepada para fasilitator iaitu pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris Untuk Profesional) yang sama-sama membantu untuk mengendalikan aktiviti yang telah dirancang,” tambahnya.

d8da3cb8 6afc 4d87 a55e 4eba9258d3e9

Wakil daripada DBP iaitu Timbalan Pengarah DBP, Wilayah Utara, Roshaliza Sulaiman juga hadir di lokasi untuk memberi sokongan kepada program ini dan mengakui bahawa pihak DBP akan sentiasa menyokong program sebegini bagi meningkatkan tahap penguasaan murid-murid dalam pembelajaran.

“Saya berharap program ini akan mencapai objektifnya kerana program sebegini amat baik untuk membantu murid-murid yang masih gagal menguasai literasi asas Bahasa Melayu,” katanya.

Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Fazlee Yahya berkata, program sebegini amat baik untuk membantu murid-murid yang kurang penguasaan literasi asas dan pihak sekolah amat menghargai usaha murni daripada pihak USM kerana beliau sendiri mengakui berlaku penambahan murid-murid kelas pemulihan.

ebb6b599 66ec 47fc 97ff 9c7b7dde7f9f

“Kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan daripada USM ke sekolah ini untuk menjalankan pelbagai program dan bantuan lain yang akan dapat membantu murid-murid di sini kerana SK Bukit Gelugor sudah seperti anak angkat kepada USM dan hasil akhir setiap bantuan ini memberi faedah kepada semua murid,” katanya.

Sekolah Kebangsaan (SK) yang terpilih untuk JBM 2023 ialah:

  1. SK Bukit Gelugor
  2. SK Bukit Gambir
  3. SK Bayan Lepas
  4. SK Jelutong Barat
  5. SK Sri Aman
  6. SK Permatang Bertam
  7. SK Permatang Sintok
  8. SK Machang Bubok 2
  9. SK Sungai Kechil
  10. SK Sungai Bakap

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 625

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024