USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED MARTABAT KESAKSAMAAN GENDER DAN PEMERKASAAN WANITA MENERUSI PLATFORM PENDIDIKAN TINGGI

078fee92 bb9c 4228 8c3f 9826d87f7fc0

USM, PULAU PINANG, 23 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama terutama melalui wadah pendidikan, penyelidikan dan advokasi dengan semua pihak bagi mencapai matlamat kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika menyampaikan ucapan aluan dalam Program Bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu di Dewan Kuliah A, USM Pulau Pinang, hari ini berkata, antara cerminan komitmen USM yang ditunjukkan ialah menerusi statistik semasa ahli akademik USM yang terdiri daripada 56 peratus (%) wanita dan terkini dua (2) daripada empat (4) penyandang jawatan Timbalan Naib Canselor adalah wanita.

f348634d 5751 4b1a a91d b435ecba4bb9

“USM mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh kaum wanita di universiti ini dalam menyumbang kepada kelestarian dan usaha melonjakkan nama universiti ke arah menjadi universiti pilihan.

"Peranan mereka dalam 'core business' dan pentadbiran universiti amatlah signifikan sekali," ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, komitmen lain USM juga dibuktikan dengan pencapaian terkini apabila dinobatkan sebagai institusi di tempat keempat keseluruhan di dunia dalam senarai ‘The Times Higher Education (THE) Impact Rankings’ 2023 yang mengukur impak lebih daripada 1,000 universiti serata dunia terhadap pencapaian matlamat dan sasaran ‘Sustainable Development Goals' (SDG).

"Antara ukuran yang dibuat ialah SDG 5 yang berkaitan dengan Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita dan Gadis," jelasnya lagi.

Tambah Abdul Rahman, USM sebagai universiti yang melaksanakan Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) amat mendokong nilai-nilai seperti kesaksamaan dan aksesibiliti serta memfokus kepada tujahan seperti kemampanan, kemanusiaan dan kesejahteraan, dan ia merupakan elemen utama dalam nilai dan tujahan tersebut.

"Selain itu, dari perspektif Malaysia Madani pula, kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita dan gadis adalah isu fundamental dalam konsep kemampanan terutamanya dari sudut tadbir urus sesebuah negara.

“Ia adalah konsep pembangunan yang tidak meninggalkan sesiapa (leaving no one behind)," ulasnya lanjut.

Turut hadir ialah Exco (Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chong Eng; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Mohd Zakuan Haji Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan; Konvenor Unit Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM merangkap Pengerusi Program Bersama Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Zaireeni Azmi.

Teks: Amyrulhan Azhari/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 612

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024