PERKUKUH INTEGRASI KAUM DALAM KESATUAN PELBAGAI ETNIK
KUALA LUMPUR, 11 Mei 2015 - Rakyat di negara ini perlu terus bersatu dalam kepelbagaian etnik yang mampu memperkukuhkan integrasi kaum di Malaysia. Perpaduan yang dikecapi pada hari ini adalah manifestasi wawasan dan visi kepimpinan awal negara yang berjaya menjadikan kemajmukan rakyat sebagai sumber kekuatan negara untuk memastikan pembangunan ekonomi, politik dan sosial berjalan baik.
Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup ketika merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa: Warisan, Watan dan Wawasan Hubungan Etnik di Malaysia di Hotel Flamingo Ampang,Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menegaskan bahawa solidariti nasional amat penting sebagai kunci kejayaan negara kerana perpaduan kaum berupaya menjamin keselamatan, kebebasan, kemerdekaan, dan kedaulatan tanah air.
"Untuk membentuk dan menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik, pembudayaan perpaduan nasional bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dalam jangka masa yang singkat kerana ia adalah proses jangka panjang yang berterusan dengan menuntut komitmen dan iltizam padu semua pihak malah keharmonian dan keamanan yang wujud sekarang ini adalah hasil daripada membudayakan perpaduan yang membuka ruang kepada masyarakat untuk menumpukan usaha terhadap menjayakan pembangunan dan agenda nasional lainnya," katanya lagi.
Joseph Kurup turut berharap agar seminar tersebut mampu mengupas segala persoalan kepada cara-cara penerapan nilai bersama antara kaum yang perlu dipupuk bagi meningkatkan lagi penerimaan terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.
Terdahulu dalam ucapannya, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Omar Osman berharap agar seminar ini menjadi penanda aras dalam usaha untuk memastikan wawasan hubungan etnik mencapai objektif seperti yang diharapkan.
"Universiti mempunyai peranan besar dalam memperkasakan keutuhan pembinaan bangsa, warisan, watan dan wawasan hubungan pelbagai etnik malah berupaya menjadi model pembangunan dan kesatuan masyarakat yang dapat saling memahami dan bekerjasama atas landasan ilmu dan persefahaman, menghargai kepelbagaian dan mewujudkan kefahaman budaya yang tinggi dalam kalangan masyarakat," kata Omar.
Beliau berharap agar fungsi universiti dalam mengintegrasikan perpaduan nasional terus diperhebat dalam menjayakan usaha pembinaan pemerkasaan bangsa Malaysia, dengan mendorong lebih banyak aktiviti berlandaskan apresiasi pelbagai warisan yang ada sebagai sumber kekayaan intelek yang sangat berharga.
Seminar yang bermula semalam hingga 12 Mei 2015 ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang disertai oleh 250 orang peserta dari seluruh negara.
Seminar ini membuka peluang terutamanya dalam kalangan belia untuk berbahas dan mencerna idea dalam usaha mengukuh dan menyuburkan hubungan etnik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini yang bakal mewarisi kepimpinan dan menjadi tonggak negara pada masa hadapan. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
- Created on .
- Hits: 3813