USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KETUA TIMBALAN PENDAFTAR KANAN DIRAI DALAM MAJLIS BAKTI DISANJUNG, BUDI DIJUNJUNG

USM PULAU PINANG, 23 Jun 2023 - Anak jati negeri Jelapang Padi, Kedah, Mohamad Abdullah hari ini telah diraikan di Majlis Bakti Disanjung Budi Dijunjung oleh seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) di Dewan Peperiksaan B, Dewan Utama Pelajar (DUP) sebagai tanda penghargaan pihak USM di atas jasa dan sumbangannya.

354035944 667195452113874 6409982842933138042 n

Mohamad Abdullah yang merupakan Ketua Timbalan Pendaftar Kanan Universiti telah menyumbang bakti kepada Menara Ilmu tercinta ini selama 34 tahun perkhidmatannya dalam bidang pentadbiran, pembangunan bakat sumber manusia, hal ehwal pembangunan pelajar dan alumni antaranya di Pusat Transformasi Insan dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA). Selain itu beliau juga pernah berkhidmat selama 10 tahun di Pejabat Naib Canselor serta 17 tahun di Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) atau dahulunya dikenali sebagai PRO (Pejabat Perhubungan Awam).

Majlis persaraan berkenaan dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang dalam ucapannya merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada Mohamad yang bakal bersara wajib dalam masa seminggu sahaja lagi atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan beliau kepada Universiti sepanjang bergelar Pegawai Tadbir.

355681276 667228702110549 7269549234332528513 n

“Segala usaha dan pengorbanan yang telah disumbangkan secara langsung mahupun tidak langsung telah banyak membantu membina Universiti sehingga di kedudukan pada masa ini khususnya dalam bidang perhubungan awam, komunikasi dan penulisan,” katanya.

Mohamad yang lahir pada tanggal 30 Jun 1963 mempunyai kredibililti yang tinggi dan merupakan subject matters expert dalam bidang pengurusan acara dan protokol serta penulisan berita dan artikel, yang sering menjadi rujukan bukan sahaja warga kampus tetapi juga dalam kalangan Universiti Awam dan agensi luar.

354260885 667195365447216 5922874953274637972 n

Beliau bukan sahaja tertumpu kepada tugas hakiki semata-mata tetapi juga sangat aktif dalam aktiviti-aktiviti anjuran Universiti dan organisasi luar serta badan kebajikan dan sosial Universiti, yang mana beliau adalah seorang yang komited dan bersemangat dalam melaksanakan tugas dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu serta pengalaman beliau dengan sesiapa sahaja.

Dalam ucapan perpisahannya Mohamad berkata, kejayaannya pada hari ini adalah hasil daripada bimbingan Naib Canselor USM ketiga, Tan Sri Dato’ Musa Mohamed; Pendaftar USM, Dato’ N.A. Ogle dan ketua jabatan saya ketika itu iaitu Haji Anuar Mohd Noor yang tegas dan mencorakkan cara kerjanya.

355130116 667195045447248 6216690254667231209 n

“Ketika itu saya berazam untuk menjadi Pegawai Tadbir Universiti yang menguruskan perhubungan awam yang berjaya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dan saya paling bersyukur diberi peluang untuk menulis teks ucapan Canselor pertama, DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Pro-Canselor USM, Allahryarham Dato’ Mohamed Yaacob tentang kepentingan mengekalkan budaya warisan,” kata Mohamad.

Tambah Mohamad lagi, beliau amat bersyukur dan bertuah dapat terlibat dalam penghasilan agenda APEX sebagai Setiausaha The Dream Team, menguruskan proses penilaian, terlibat dalam pelbagai bengkel untuk merealisasikan agenda itu, melihat perjalanan dan jatuh bangunnya, masalah dan cabarannya serta mempromosikan dan memahamkan semua pihak dan menghasilkan lagu APEX.

353459649 667195065447246 8004947247807402056 n

Mohamad kemudian meneruskan ucapannya dengan menceritakan segala pengalaman pahit dan manis sepanjang perkhidmatannya di Menara Ilmu ini.

Seluruh warga USM mengucapkan ribuan terima kasih di atas jasa dan budi yang ditabur serta mendoakan agar Mohamad dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah, dikurniakan kesihatan yang baik serta mendapat rahmat dan redha Allah Swt.

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali dan pegawai-pegawai utama USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 460

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024