“KOMUNITI BERJAYA, KOMUNITI BERBUDAYA”
USM PULAU PINANG, 22 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Karnival Keusahawanan, Kelestarian, Kebudayaan dan Sukan (4K1S) buat julung kalinya pada tahun ini yang dianjurkan secara bersama oleh Pusat Rancangan Ko-kurikulum USM dan para pelajar kursus WSC 127-Pengurusan Acara.
Karnival ini dianjurkan bertujuan untuk memberikan peluang kepada para mahasiswa dan mahasiswi kursus Pusat Rancangan Ko-kurikulum USM dan memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi USM kepada attribute H.E.B.A.T (Holistic, Entrepreneurial, Balance, Articulate, Thinking). Program yang telah berlangsung dari 19 Jun sehingga 22 Jun 2023 ini telah melibatkan aktiviti jualan oleh para pelajar dari kursus Keusahawanan dan Kelestarian.
Hadir sama dalam upacara perasmian ini adalah Pengarah Pusat Rancangan Ko-Kurikulum USM, Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Bin Mohamad Kassim, yang menyifatkan program 4K1S ini akan menjadi sumber inspirasi bagi kita semua untuk meneroka lebih dalam lagi menerusi elemen keusahawanan dan juga kelestarian serta akan memberikan pengalaman yang berharga bagi para peserta dan warga kampus USM.
Sementara itu, Pengarah Projek Karnival Keusahawanan, Kelestarian, Kebudayaan Dan Sukan, Cik Nur Nabila Normiza Shahman berkata pelaksanaan karnival ini diharapkan akan memberikan impak yang cukup berharga terutamanya kepada para mahasiswa dan mahasiswi kursus Rancangan Ko-kurikulum.
“Antaranya, menjadi platform terbaik untuk mengenali dan memupuk bakat serta minat mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang keusahawanan, kelestarian, kebudayaan dan juga sukan. Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam mengaplikasikan kemahiran keusahawanan dan kreativiti dalam aktiviti yang dianjurkan,” jelasnya.
Turut sama hadir ke majlis perasmian ini adalah Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Ko-Kurikulum USM, Profesor Madya Dr. Mohd Sayuthi Hassan, Pengerusi-pengerusi rancangan Pusat Rancangan Ko-Kurikulum, Pegawai-pegawai Utama Universiti dan Ahli-ahli Jawatankuasa Karnival Keusahawan, Kelestarian, Kebudayaan dan Sukan
Teks : Puan Siti Fatimah Binti Abu Mansor
Foto : Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 387