USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJURKAN BENGKEL TEATER MELIBATKAN LEBIH 60 PEGAWAI PENJARA

USM, PULAU PINANG, 15 Jun 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Drama dan Teater telah menganjurkan satu Bengkel Pemindahan Ilmu: Pengenalan Terhadap Seni Persembahan Teater untuk lebih 60 pegawai daripada Jabatan Penjara Malaysia.

WhatsApp Image 2023 06 22 at 12.16.12

Bertempat di Pelenggam Cahaya, USM, bengkel berkenaan telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 14 dan 15 Jun 2023 dan melibatkan pegawai penjara di seluruh Malaysia terdiri daripada Ketua Inspektor, Inspektor, Sarjan dan Koperal serta Wardar Penjara.

WhatsApp Image 2023 06 22 at 12.16.12 4

Bengkel berkenaan telah disampaikan oleh barisan pengajar yang berpengalaman mengikut sesi yang telah ditetapkan seperti pengenalan teater, pembinaan skrip, asas vokal, asas lakon pentas, asas pengarahan, gerakan kreatif dan juga teknikal pentas.

Penganjuran bengkel ini adalah selaras dengan Program Teater Muzikal Muhibbah 2023 yang menjadi sebahagian daripada program pemulihan melibatkan penghuni penjara melalui penghayatan terhadap kebudayaan dan kesenian.

WhatsApp Image 2023 06 22 at 12.16.13

Oleh yang demikian, Bahagian Drama dan Teater, USM akan menyumbang daripada sudut kepakaran dan khidmat nasihat bagi program ini melibatkan perkongsian ilmu seni persembahan di kalangan para pegawai pelatih, pengurusan dalam pertandingan, pemantapan modul latihan dan penghasilan rubrik pertandingan akhir.

Bengkel berkenaan menjadi program fasa pertama daripada tiga fasa yang dijadualkan, termasuk fasa kedua yang melibatkan saringan awal persembahan teater (September) dan diikuti fasa ketiga iaitu Pertandingan Akhir Teater yang dijangka berlangsung pada November depan.

Pada akhir fasa program ini, para penghuni daripada 18 buah penjara di seluruh Malaysia akan bertanding mewakili penjara masing-masing.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Joshua Edwin Santhanasamy (Intern@MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 516

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024