USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WACANA’18 ANJURAN USM PERSIAP PELAJAR INPUT UNDI18

7748d738 c659 4ffc 81a9 6c21e24f5ce7

USM PULAU PINANG, 19 Jun 2022 – Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM hari ini telah menganjurkan program Wacana 18: Politik Anak Muda Nusantara iaitu program kesinambungan daripada program tahun lalu, forum politik Undi 18: Cabaran dan Cadangan.

Program ini telah berlangsung di Auditorium Dewan Budaya USM dengan penglibatan seramai 300 orang pelajar.

Hadir bagi merasmikan program adalah Dekan PPSK USM mewakili Naib Canselor USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohamad Shaharudin berkata dengan adanya program wacana ini dapat membuka mata anak-anak muda terutama sekali di Nusantara, bahawa mereka yang berumur 18 sehingga 30 tahun perlu menjadi wakil rakyat yang mampu menyuarakan keluhan rakyat selain berperanan memilih wakil rakyat semasa pilihan raya yang selari dengan konsep Undi18.

8bc6fb79 e160 446e abd3 ba5fed04d93d

“Mungkin pada masa akan datang, salah seorang yang berada di dalam dewan ini akan menjadi wakil rakyat yang disenangi oleh masyarakat seterusnya mengangkat institusi politik negara,” katanya.

Tambah Mohamad Shaharudin lagi, beliau berharap agar apa yang didedahkan kepada mereka yang hadir pada malam ini boleh dijadikan sebagai panduan untuk kegunaan pada masa akan datang.

354452851 664879389012147 7501032780985401910 n

Selaku Pengarah Projek Wacana’18, Jaz Zairil Abdul Jamin @ Abdul Jamil berharap, melalui program Wacana’18 ini, maklumat yang diperoleh dapat diaplikasikan dalam memupuk nilai keyakinan anak muda untuk berkongsi idea, penambahbaikan serta melihat dimensi landskap politik negara selaras dengan elemen ‘articulate’ dalam atribut keyakinan.

354444216 664879325678820 4414756260228002082 n

Menurut Jaz juga, selain daripada menerapkan agenda HEBAT Universiti, program ini turut merealisasikan agenda global iaitu Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 16 – Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh.

Majlis dirancakkan lagi dengan sesi forum Wacana 18': Politik Anak Muda Nusantara yang menampilkan tiga ahli panel iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri Rim Melaka merangkap Timbalan Pengerusi JPP TVET Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira Abu Zahar yang juga merupakan pelakon Malaysia pada satu ketika dahulu; Pensyarah Sosiologi Politik PPSK USM, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian; dan Mohd Firdaus Noh yang merupakan Majlis Perwakilan Pelajar dan Yang di-Pertua Kelab Sains Politik, PPSK selaku moderator forum.

355029487 664879319012154 225142639478487017 n

Adam Adli ketika ditanya mengenai kemunculan kumpulan dalam kalangan pelajar yang berdemonstrasi menentang dan mengkritik kerajaan, beliau yang juga aktivis pelajar suatu ketika dahulu yang lantang membawa suara mahasiswa berkata, suara pelajar harus didengar oleh kerajaan, dan kerajaan seharusnya menerima kritikan-kritikan membina yang bertujuan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik kepada masyarakat.

Sebagai contoh, pada zaman beliau dahulu, kerajaan telah mendengar isu yang disuarakan dan telah membawa kepada pindaan ke atas Akta Universiti sehingga berjaya membuka ruang kepada pelajar untuk terlibat dalam politik, bertanding dalam pilihan raya, dan sebagainya.

Sementara itu, Dira Abu Zahar menjawab kepada soalan tentang isu pendidikan negara, iaitu kebanyakan anak muda hari ini yang memilih untuk tidak menyambung pengajian di peringkat IPT mahupun bidang teknikal TVET, kata Dira perkara ini merupakan satu trend yang agak membimbangkan.

“Untuk menjadi sebuah negara maju, perlu dipastikan agenda untuk memperkasakan pendidikan dilakukan secara menyeluruh, yang mana pelbagai usaha di pihak kerajaan telah dijalankan agar isu ini tidak terlepas jauh daripada agenda asal,” katanya.

Tambah Dira lagi, program seperti ini harus menjadi titik permulaan kepada mahasiswa/i yang hadir untuk terlibat dalam program-program lain seumpama ini dalam memupuk kesedaran politik dalam kalangan anak muda.

Dalam sesi soal jawab yang sama, Sivamurugan yang merupakan seorang penganalisis politik berpendapat bahawa wanita tidak lagi boleh bekerja di belakang tabir dan wanita harus kehadapan, yang mana isu gender tidak seharusnya dijadikan asas untuk menolak ketokohan, kewibawaan dan kemampuan seseorang wanita untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau percaya suatu hari nanti, Malaysia akan mempunyai wanita sebagai Perdana Menteri, barangkali ketika itu, mampulah kita zahirkan nilai kematangan yang jauh lebih besar dari nilai budaya dan agama.

Turut hadir di program adalah Pengarah Pusat Pembangunan Bakat (TDC) USM, Zulkifli Che Husin dan Penggawa Desasiswa Restu USM, Ts. Dr. Shahrizal Nazri.

Teks: Fatin Farhana Hazenan & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 561

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024