USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

48 GRADUAN SULUNG SARJANA ANALITIK PERNIAGAAN KERJASAMA USM DAN KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT MESIR DIRAI

c9462dad 3fab 45b6 b263 3d893a255801

CAIRO, MESIR, 18 Jun 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) bersama rakan kerjasama dari Mesir iaitu ‘Information Technology Industry Development Agency’ (ITIDA) menerusi program ‘Digital Egypt Builders Initiative’ (DEBI) di bawah Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat (Ministry of Communications and Information Technology - MCIT), Mesir hari ini meraikan kumpulan graduan sulung program Sarjana Analitik Perniagaan (Master of Business Analytics) di ‘Grand Celebrations Hall’, Cairo University.

3c498e85 e01f 4e5e 8a4a bdf64ef3e741

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan ucapan sebelum penganugerahan skrol kepada graduan berkata, dalam dunia berasaskan data yang pesat berubah hari ini, kepentingan analitik perniagaan tidak boleh dipandang remeh.

"Sebagai graduan Sarjana Analitik Perniagaan, graduan diyakini mempunyai set kemahiran yang unik dan berharga yang mendapat permintaan amat tinggi dalam pasaran.

"Keupayaan graduan untuk mengumpul, menganalisis dan mentafsir data ditambah dengan kepintaran perniagaan, dijangka meletakkan graduan di barisan hadapan dalam  industri memandangkan kompetensi analitik yang dimiliki graduan memberi nilai tambah melalui pembuatan keputusan berasaskan data (data-driven decision making)," katanya.

c75ee34f 864e 40de 9136 161c9cc3aad9

Menurut Abdul Rahman, dalam dunia kini, bidang analitik perniagaan di mana data merupakan komoditi paling utama, graduan telah dipersiapkan dengan segala pengetahuan dan kemahiran digital dan analitik yang diperlukan industri.

"Sepanjang mengikuti program, graduan telah diberi pendedahan serta diasah kemahiran dalam mengekstrak sejumlah besar data bagi membolehkan sesebuah organisasi membuat keputusan dalam landskap yang semakin kompleks dan kompetitif," jelasnya lagi.

Abdul Rahman turut mendedahkan bahawa program Sarjana Analitik Perniagaan yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan USM menerima permintaan yang amat tinggi dan peningkatan mendadak dari dalam dan luar negara sejak mula ditawarkan pada tahun akademik 2021.

3fa8e7bc 3247 44a9 ab5b 7c1167db3b77

"Pada tahun 2022, seramai 178 pelajar telah mendaftar termasuk graduan hari ini yang menandakan kerjasama 'goverment to goverment' (G2G) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat (MCIT), Mesir.

"Kini terdapat seramai 446 pelajar aktif Sarjana Analitik Perniagaan yang mengikuti program secara mod konvensional dan dalam talian.

"Di bawah ‘Fintech Track’, seramai 48 pelajar DEBI mendaftar pada tahun 2022 berikutan kejayaan kohort pertama, seramai 95 pelajar kohort ke-2 yang sedang mengikuti program ini," ujarnya.

Menurut beliau, program DEBI menggunakan kurikulum serta penilaian sepenuhnya mengikut modul USM, tetapi pelaksanaan pengajaran oleh pengajar dijalankan secara dalam talian dan pelajar berada di pusat pembelajaran di Cairo.

"USM merupakan satu-satunya universiti di Asia yang terpilih untuk menjalankan program dan dibiayai sepenuhnya oleh MCIT Mesir.

"Akan datang, USM dan DEBI Egypt juga sedang dalam proses untuk menawarkan beberapa lagi program termasuk program Sarjana Sains (Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Elektronik" katanya.

Selain itu, Abdul Rahman yakin bahawa kerjasama kedua-dua pihak akan terus kukuh atas asas pendidikan, menggalakkan hubungan global dan membuka banyak peluang kepada pelajar serta fakulti.

Tambah Abdul Rahman, dunia di sekeliling kita berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kemajuan teknologi, globalisasi dan perubahan masyarakat membentangkan kedua-dua cabaran dan peluang.

"Adalah penting bagi semua untuk menerima perubahan, menyesuaikan diri dan terus belajar sepanjang kerjaya.

"Pengetahuan yang diperoleh semasa mengikuti pengajian adalah asas di mana pelajar akan membina pertumbuhan dan kejayaan seumur hidup," ulasnya lanjut.

ee03a3c3 b4cf 4df8 a7b8 20392e2cc710

Abdul Rahman pada akhir ucapan menyeru supaya graduan tidak sesekali memandang rendah kuasa pembelajaran sepanjang hayat.

"Dunia analitik perniagaan sentiasa berkembang dan menjadi tanggungjawab graduan untuk terus berada di hadapan lengkung.

"Manfaatkan teknologi baharu, terus mengasah kemahiran dan adaptasi perspektif baharu dunia industri masa kini.

"Pendidikan tidak berakhir apabila seseorang bergraduan, tetapi ia hanyalah asas di mana seseorang akan terus meneroka perkembangan ilmu serta kemahiran," katanya.

9fbd503a e638 43cb ab8e d93d866304d7

Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kedutaan Malaysia di Mesir dan pihak Education Malaysia Egypt (EME) yang sentiasa menyambut baik serta membantu USM dalam segala urusan bersama rakan kerjasama di Mesir.

Turut hadir dalam majlis graduasi itu ialah Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mesir, Dr. Amr Samih Talaat; Duta Malaysia ke Mesir, TYT Zamani Ismail, wakil-wakil institusi yang terlibat dalam program kerjasama itu iaitu University College Cork, Ireland; Queen’s University; Canadian University of Ottawa; delegasi ITIDA dan DEBI Egypt; delegasi dari USM iaitu Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad; Dekan, Institut Pengajian Siswazah, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz dan Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik, Ramli Osman.

Teks dan Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 643

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024