YCES ’23 BANTU TINGKATKAN ILMU MAHASISWA MENJADI PENERAJU KECEMERLANGAN KEPIMPINAN BELIA
USM PULAU PINANG, 18 Jun 2023 - Majlis Penghuni Desasiswa Indah Kembara (MPDIK) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan program Simposium Pemerkasaan Kompetensi Belia 2023 (YCES ’23) dengan kerjasama Kluster Kerjaya i-LEAD, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA)USM.
Program ini merupakan program strategik perkongsian ilmu dan kemahiran yang berfokus kepada kompetensi belia yang merangkumi pengurusan diri, pengurusan organisasi, literasi kewangan dan komunikasi dalam menghasilkan belia berdaya maju dalam pelbagai bidang yang menggariskan empat perkongsian utama iaitu:
- Pengurusan Berkualiti, Organisasi Berintegriti;
- Speak with Confidence;
- Forum Hutang Bijak, Hutang Terlajak;
- Slot bersama HDC USM, Hazlan Abdul Hamid, Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT USM.
Program ini bertujuan untuk memberikan sedikit sebanyak ilmu kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran dalam pengurusan kepimpinan dan organisasi, membina keyakinan dari serta pengurusan hutang yang baik.
Hadir bagi merasmikan program ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi merangkap Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran.
Azlan Amran dalam ucapan perasmiannya menitipkan pesan buat generasi muda bahawasannya hidup ini merupakan satu perjuangan dan perjalanannya adalah amat mencabar, yang mana untuk menuju destinasi itu memerlukan prinsip dan ilmu yang akan didedahkan dalam program tersebut yang meliputi prinsip untuk menjadi seorang pemimpin, prinsip untuk ada keyakinan diri, prinsip untuk mengawal kewangan.
“Harapan saya adalah agar segala perkongsian daripada panel-panel jemputan pada hari ini dapat memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada anak-anak muda di zaman kini because you are the future of Malaysia. Masa depan negara bergantung kepada anda yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan,” kata Azlan.
Menurut Pengarah Kluster Kerjaya i-LEAD, KBS, Mohd Khailani Ismail dalam ucapan aluannya berkata, program ini adalah selaras dengan misi dan visi i-LEAD iaitu untuk membangunkan pemimpin belia yang holistik dan unggul ke arah negara sejahtera yang menjadi peneraju kecemerlangan kepimpinan belia dan kenegaraan.
“Misi utama kami adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa/i disamping meningkatkan peluang pekerjaan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mana pelaksanaan program wajar diperkasakan demi kepentingan belia masa kini dengan mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang luas dari pelbagai aspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek YCES ’23, Nur Firyal Nor Effendee berkata, program ini akan menjadi satu platform yang berguna kepada golongan belia untuk memperoleh ilmu-ilmu yang bermanfaat dan pastinya dapat memberikan impak yang positif kepada para peserta yang hadir.
Kira-kira 300 orang pelajar membanjiri dewan yang terdiri daripada pelajar USM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan UiTM Pulau Pinang.
Program ini juga ditayangkan secara langsung melalui pautan Facebook USMOfficial1969.
Hadir sama adalah Penggawa MPDIK, Siti Hawa Mat Junoh; Timbalan Pengerusi Majlis Penggawa, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; majlis penggawa dan majlis yang dipertua desasiswa dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 639