USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ROKET HEBAT TERBANG LAGI, PASUKAN USM TEKAD PERTINGKAT PRESTASI MUNCUL LIMA TERBAIK DUNIA

669d7988 00b6 4878 93d5 9608d7c3f361

PULAU PINANG, 16 Jun 2023 – Buat kali keduanya dalam catatan sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), pasukan roket berkuasa tinggi dari Kampus Kejuruteraan USM berlepas ke New Mexico, Amerika Syarikat bagi menyertai Spaceport America Cup (SAC) 2023 yang akan berlangsung dari 19 hingga 24 Jun ini.

9a263c7f fccb 416e 9a9c 7420689c20ed

Mengekalkan nama WAU Rocketry, pasukan ini sekali lagi menjadikan USM satu-satunya universiti di negara ini yang layak dipilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan SAC 2023, yang menjadi persidangan dan pertandingan pelancaran roket berkuasa tinggi antara universiti yang terbesar di dunia.

Terdahulu pada tahun 2022, pasukan WAU Rocketry adalah pasukan pertama Malaysia yang telah terpilih untuk melancarkan roket dalam pertandingan SAC dan terulung kalinya juga mereka berjaya meraih tempat ke-7 dalam kategori 10,000 feet Commercial of The Shelf (COTS) dan juga mendapat kedudukan ke-12 dalam ranking dunia.

Bagi edisi 2023 ini, Wau Rocketry dengan roket yang dikenali sebagai HEBAT II akan bertanding lagi dalam kategori 10,000 feet COTS, dengan sasaran untuk mencapai tempat kelima teratas di dunia.

Ketua Pasukan Wau Rocketry, Vanmitha Athimoolam berkata, pasukannya terdiri daripada 16 orang pelajar dengan bimbingan dua orang pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA), Dr. Norilmi Amilia Ismail dan Dr. Chang Wei Shyang yang bertindak sebagai penasihat pasukan serta dua orang mentor yang berpengalaman dalam pembinaan roket.

“Visi kami adalah untuk menggagaskan pembangunan industri aeroangkasa, khususnya roket berkuasa tinggi di Malaysia.

“Selain itu, misi pasukan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para mahasiswa di Malaysia mengenai bidang roket serta menarik minat para mahasiswa tempatan untuk turut menyertai SAC pada masa hadapan,” ujarnya.

0aed56df 562b 4ea6 9b1d 38e997512b4f

Tambah Vanmitha, pelajar tahun 4, PP Kejuruteraan Aeroangkasa, beliau dan pasukannya akan memberikan persembahan yang terbaik bagi mengharumkan  nama USM dan negara dalam pertandingan berprestij yang turut disertai oleh ratusan pasukan dari seluruh dunia itu.

Beliau turut menambah, pihaknya amat terharu dengan sokongan USM dan semua pihak, khususnya rakan kerjasama iaitu Malaysian Industry-Goverment Group for High Technology (MIGHT), para penaja termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, OMS Foundation, Malaysia Airlines, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prevail Production, Zush, Kovra dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dekan PP Kejuruteraan Aeroangkasa USM, Profesor Dr. Farzad Ismail pula berkata, pihak USM sentiasa memberikan sokongan padu kepada WAU Rocketry dan dalam masa yang sama menjadikan ia contoh kepada usaha USM dalam memperkasa bakat siswa.

0d41d52d 9b6a 4484 b866 f10218c6f213

Selain itu ujar beliau, pencapaian Wau Rocketry yang kali kedua berjuang di peringkat antarabangsa itu menzahirkan komitmen dan kesungguhan mereka dalam menyerlahkan bakat HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam diri masing-masing.

“Penyertaan mereka dalam pertandingan ini juga akan mendedahkan mereka kepada industri aeroangkasa antarabangsa dan mereka turut berpeluang membina rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bendera kepada pasukan WAU Rocketry yang berlepas ke New Mexico, AS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: PP Kejuruteraan Aeroangkasa USM & para Penaja

  • Created on .
  • Hits: 351

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024