PENGANJURAN 3KPP23 DAN EKSPEN CUNGKIL SEMANGAT KEUSAHAWANAN PELAJAR DAN PELUANG TEROKAI ALAM PEKERJAAN
USM PULAU PINANG, 16 Jun 2023 – Penganjuran Karnival Keusahawanan & Kerjaya Pulau Pinang 2023 (3KPP23) dan Ekspo Kerjaya & Pendidikan (EKSPEN) berpotensi mencungkil semangat keusahawanan para pelajar di samping membuka peluang buat mereka untuk menerokai peluang pekerjaan yang disediakan di Malaysia.
Program yang telah dianjurkan buat kali kedua ini telah dirasmikan oleh wakil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Satees A/L Muniandy di Dewan Utama Pelajar, USM dan program ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini 16 Jun hingga 17 Jun 2023 dengan agenda permulaannya adalah majlis perasmian program ini.
Satees ketika menyampaikan ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap agar para pengunjung dapat merasai manfaat yang disampaikan melalui karnival ini sekaligus mengeluarkan semangat keusahawanan yang terpendam dalam diri masing-masing.
“Saya ingin menyatakan hasrat saya buat para pengunjung karnival untuk memanfaatkan ilmu dan juga menyaksikan bagaimana semangat keusahawanan itu berbeza bagi setiap orang kerana peluang menghadiri program keusahawanan seperti ini tidak datang selalu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran mewakili Naib Canselor, USM dalam ucapan alu-aluannya berkata, program ini padat dengan manfaat yang dapat diperolehi bersama.
“Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang alam pekerjaan yang bakal ditempuhi, dan sebagai seorang pelajar USM, anda perlu mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum menghadapi alam pekerjaan dan mengaplikasikan apa yang anda peroleh di sini kelak.
“Program ini boleh menjadi titik permulaan bagi para pelajar meningkatkan nilai kebolehpasaran masing-masing pada masa akan datang dan sekurang-kurangnya dapat memberi motivasi kepada para pengunjung kerana terdapat lebih 50 syarikat terkemuka dengan penawaran 1,000 peluang pekerjaan dalam program ini,” tambahnya.
Majlis turut menyaksikan persembahan tarian Flashmob, penyampaian mock cheque daripada para penaja Diamond, Gold dan Bronze kepada USM dan penyampaian sijil penghargaan beserta cenderahati kepada penaja dan pempamer.
Antara yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT USM, Hazlan Abdul Hamid; Pengarah Projek 3KPP 2023, Pavitra A/P Ganeson; rakan-rakan kolaborasi dan wakil industri; barisan penaja 3KPP 2023; dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (Intern@MPRC)/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 593