USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BULAN KELESTARIAN USM: WARGA USM PERLU FAHAMI DAN JADIKAN KELESTARIAN AMALAN BERTERUSAN

5675e994 0662 438d b2ed 400604aed8cc

USM PULAU PINANG, 15 Jun 2023 – Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan satu sesi perkongsian dalam talian bertajuk “SDGs (Sustainable Development Goals): Peranan Warga Staf Dalam Penyemarakan Agenda APEX USM.”

Sesi Syarahan Pentadbir melalui platform Webex tersebut disampaikan oleh Timbalan Penyelaras Kampus Sejahtera USM, Dr. Normaliza Abdul Manaf.

Kampus Sejahtera adalah satu unit di bawah USM yang bertanggungjawab menyelaras pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian. Ia berperanan memberi makluman selain menjalankan aktiviti berkaitan kelestarian secara berterusan di USM.

Melalui perkongsian beliau, Normaliza telah memberi penerangan secara menyeluruh tentang perlunya amalan kelestarian difahami dan diamalkan oleh warga staf USM.

“USM telah dipilih pada tahun 2008 untuk mendokong satu inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu, iaitu program APEX (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan).

“USM telah dipilih untuk melaksanakan program APEX ini berlandaskan kejayaannya pada waktu itu dalam menghasilkan perancangan ke arah amalan kelestarian berkaitan pendidikan tinggi,” katanya.

“Sesuai dengan USM sebagai sebuah universiti APEX, dan seterusnya tersenarai dalam ranking kelestarian Times Higher Education Impact Rankings (THE-IR) di tangga #4 dunia selama dua tahun berturut-turut, amat wajar bagi warga USM lebih memahami dan melaksanakan pelbagai amalan kelestarian yang juga boleh dikaitkan dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang telah dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN),” katanya lagi.

USM telah terlebih dahulu diiktiraf sebagai sebuah universiti yang memberi tumpuan kepada penyelidikan (Research University) pada tahun 2007.

Menurut Normaliza, pencapaian USM dalam ranking baru-baru ini sebahagian besarnya berkait rapat dengan pelbagai penyelidikan staf akademik yang memberi tumpuan terhadap aspek kelestarian.

“Aktiviti penyelidikan juga disokong dengan pelbagai aktiviti lain seperti pembelajaran dan pengajaran serta program bersama industri dan juga komuniti, yang mana semua ini melibatkan pelbagai pihak seperti pusat penyelidikan, pusat pengajian, pusat perkhidmatan dan desasiswa,” jelasnya.

Demi menyemarakkan semangat atau roh APEX yang sentiasa memberi penekanan ke arah pelbagai aktiviti berkaitan kelestarian, Kampus Sejahtera telah memilih bulan Jun ini sebagai ‘Bulan Kelestarian USM 2023.’

Antara program atau aktiviti yang akan dijalankan semasa Bulan Kelestarian ini adalah ‘Sejahtera Walk’ (17 Jun), ‘USM Car-Free Day’ (20 Jun) ‘Sustainability Talk’, ‘Clean the Beach’ dan sebagainya.

3c84778e 0658 47ff a34e c15147c919c0

Seterusnya, program kemuncak Bulan Kelestarian USM adalah Karnival Kelestarian – “Sustainable Future Initiative Exhibition” yang akan diadakan pada 24 Jun dan 25 Jun di Dewan Utama Pelajar (DUP) USM.

Normaliza menamatkan sesi perkongsian dengan beberapa rumusan.

“Warga USM perlu membudayakan kelestarian dalam aktiviti di kampus atau pejabat USM di samping dalam kehidupan seharian.

“USM telah melantik Pegawai Kelestarian di sebilangan besar jabatan, yang akan berperanan sebagai agen yang menerajui amalan kelestarian kampus.

“Kelestarian adalah satu proses amalan secara berterusan dan ia memerlukan komitmen semua untuk menjayakannya,” tegasnya.  

“Dengan ini, diharapkan agar amalan kelestarian di USM dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan di pelbagai tahap demi merealisasikan misi dan visi USM sebagai sebuah universiti kelestarian terpimpin (sustainability-led university) bertaraf dunia.”

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1134

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024