USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PANDANGAN BELIA DALAM PEMBINAAN NEGARA BANGSA

IMG 0401

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2015 - Menurut ahli Parlimen Belia dari Pulau Pinang yang juga Pegawai Tadbir Universiti Sains Malaysia (USM), Ahmad Wafi Sahedan, perpaduan adalah satu perjalanan  jauh dalam proses memahami di antara satu sama lain dalam pembinaan bangsa dan hubungan etnik yang utuh.

"Perpaduan adalah cita-cita semua yang perlu bermula seawal mungkin seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya" yang memerlukan perancangan strategik," kata Ahmad Wafi di hadapan kira-kira lebih 50 orang peserta sesi randau meja bulat yang disertai oleh anak-anak muda dari dalam kalangan  pemimpin pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Felo Muda Perpaduan Nasional, Parlimen Belia dan Pemimpin Belia Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam siri seminar "Pembinaan Bangsa: Warisan, Watan dan Wawasan Hubungan Etnik di Malaysia" di sini hari ini.

Ahmad Wafi menegaskan bahawa generasi Y yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan perlu mempunyai asas jati diri dan semangat perpaduan yang kukuh dengan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara yang jelas maknanya.

Wakil Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM yang juga merupakan Exco Jabatan Akademik dan Pengurusan Karier Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) Muhammad Aliff Bin Roslan pula menegaskan bahawa dalam mengukuhkan lagi integrasi dan perpaduan kaum, titik persamaan perlu dicari dalam mengintegrasikan hubungan etnik yang perlu diberi perhatian utama.

Muhammad Aliff menyifatkan bahawa perpaduan adalah  sesuatu yang sangat berharga dalam mengekalkan kelestarian pembinaan integrasi selepas 58 tahun mencapai kemerdekaan negara.

IMG 0400

Sesi Randau Meja Bulat yang dipengerusikan oleh Dr. Kevin Fernandez dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini turut disertai oleh wakil pelbagai universiti dan pertubuhan sukarela antaranya Mohd Al-Farid Abraham dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marques Jeevan Menon dari UCSI Universiti  dan Felo Muda Perpaduan Nasional Calvin Woo Yoong Shen.

Seminar ini merupakan suatu usaha untuk memastikan negara mencapai taraf sebagai sebuah negara maju dalam acuan sendiri yang berteraskan keutuhan pembinaan bangsa, warisan, watan dan wawasan hubungan pelbagai etnik demi kelangsungan negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

Seminar dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Mei 2015 bertempat di Hotel Flamingo Ampang, Kuala Lumpur. - Teks: Siti Naquiah Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin

  • Created on .
  • Hits: 1591

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024